BATU PAHAT – Hampir 1000 staf dan pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menyertai Program Sayangi UTHM sempena Hari Diabetes Sedunia Peringkat Universiti bagi tahun 2022 yang diadakan pada 14 November 2022 bertempat di perkarangan Perpustakaan Tunku Tun Aminah, kampus induk.

Program itu diadakan bertujuan untuk menghidupkan kembali kempen ‘Sayangi UTHM’ yang sebelum ini telah diperkenalkan pada tahun 2019.

Bersempena Hari Diabetes Sedunia, program tersebut diadakan bagi memupuk semangat ‘kebersamaan’ dalam kalangan warga kampus di samping meningkatkan kesedaran tentang kepentingan menjaga kesihatan agar produktiviti kerja dapat ditingkatkan demi kecemerlangan universiti.

Naib Canselor UTHM, Profesor Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim dalam ucapannya berkata sebelum pandemik melanda negara, UTHM pernah menganjurkan beberapa program melalui kempen ‘Sayangi UTHM’ di bawah kluster Prihatin Ummah, Kampus Ceria, Alam Lestari, Ringgit dan Pesan Sejahtera.

“Sewaktu saya kembali semula ke UTHM sebagai Naib Canselor, saya berhasrat mahu menghidupkan kembali slogan ‘Sayangi UTHM’ ini dan jadikan ia sebagai pendorong untuk kita lebih bersama-sama, sekali gus merapatkan lagi hubungan persaudaraan dan semangat kerja berpasukan.

“Saya mahukan semangat ini dapat diserap oleh semua warga kampus dengan bersandarkan Nilai Bersama UTHM iaitu Amanah, Profesional dan Inovatif,” katanya ketika merasmikan program tersebut.

Penganjuran Program Sayangi UTHM itu turut mendapat kerjasama daripada Yayasan UTHM, Kelab Staf UTHM (KSUTHM), Persatuan Pensyarah dan Pengajar UTHM (PERKASA), Persatuan Pegawai Pentadbir dan Ikhtisas (PENTAS), Kesatuan Kakitangan Pelaksana (KKP) dan Pejabat Kampus Lestari.

Pelbagai aktiviti menarik diadakan bagi memeriahkan program antaranya sesi regangan dan fun walk “Ayuh! Jalan Bersama,” pemeriksaan kesihatan percuma, program derma darah, perkongsian ilmu “Pengurusan Stress dan Pemakanan Sihat” dan pameran serta jualan produk kesihatan.

 

*Sekitar kemeriahan Program Sayangi UTHM Sempena Hari Diabetes Sedunia