KOSMO 2 Oktober 2022 :
SUNGAI PETANI – Golongan belia terutama pelajar universiti merayu kerajaan agar memperbanyakkan peluang pekerjaan bagi menampung kehadiran graduan-graduan selepas tamat pengajian.
Seorang siswi dari Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM), Siti Zulaikha Shukeri, 23, berharap kerajaan dapat mempelbagaikan bantuan kepada golongan belia.
“Bantuan kerajaan tidak hanya tertumpu kepada bantuan dari aspek kewangan tetapi perlu dipelbagaikan dari aspek lain yang bersesuaian dengan pelajar.
“Saya minta kerajaan pelbagai bantuan dari aspek peluang kerjaya, kesihatan, sukan selain mempelbagaikan lagi program-program latihan seperti keusahawanan kepada belia sekaligus dapat mengurangkan bilangan pengangguran terhadap golongan siswazah yang telah tamat belajar,” ujarnya.
Siswi dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Nur Izwani Ahmad, 23, berharap kerajaan dapat menyediakan pakej pengangkutan awam kepada pelajar universiti supaya mereka dapat membeli tiket pengangkutan awam dengan harga lebih murah untuk pulang bercuti ke kampung.
“Pelajar agak terbeban dengan kadar harga tiket pengangkutan awam untuk pulang ke kampung setiap kali cuti panjang atau semester jadi sekiranya ada pakej yang pengangkutan awam ini dapat meringankan beban pelajar untuk membeli tiket.
“Selain itu saya juga berharap kerajaan boleh berikan bantuan insentif bil prabayar kepada pelajar yang kurang berkemampuan,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Zuhairi Zulkifli, 23, dari UTHM meminta kerajaan supaya memberikan peruntukan kepada Universiti Awam untuk pembangunan kediaman pelajar bagi membolehkan pelajar aktif dan kurang berkemampuan mendapat penempatan di dalam kolej universiti.
Dalam pada itu, Noor Aliana Rosuri, 23 pula berkata, dia berharap kerajaan akan dapat memberikan elaun sebanyak RM200 hingga RM300 kepada para pelajar dari semester dua hingga pelajar tahun akhir di peringkat Diploma dan Sarjana Muda pada setiap awal semester sebagai persediaan untuk memasuki semester baharu.