Secara umumnya, terdapat beberapa buah universiti awam di Malaysia yang ditubuhkan berlandaskan falsafah yang berkonsepkan tauhid. Antara universiti awam yang dapat dikenal pasti oleh penulis berdasarkan matlamat, visi dan misi sesebuah universiti ialah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).
Antara empat universiti yang berasaskan TVET pula, iaitu Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan UTHM, UTHM dilihat amat komited pengoperasiannya yang berkonsepkan tauhid seperti yang dinyatakan dalam misi universiti iaitu, “UTHM komited untuk mewujudkan dan menyebarkan pengetahuan bagi memenuhi keperluan industri dan komuniti serta menyuburkan modal insan yang kreatif dan berinovasi berasaskan paradigma tauhid.” Ini bermaksud UTHM menekankan konsep tauhid sebagai tunjang dalam segala program sama ada urusan akademik, pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan mahupun aktiviti kokurikulum termasuk juga dalam pembangunan staf kerjaya profesional muslim.
Konsep tauhid dalam bab akidah agama Islam merupakan prinsip asas dan konsep yang penting bagi orang-orang yang beriman. Ini diterjemahkan melalui ungkapan dua kalimah syahadah seperti yang dinyatakan di dalam Al-Quran, iaitu kalimah pertama dalam Surah Muhammad, ayat ke-19 (Al-Quran 47:19) dan Surah Saffat, ayat ke-35 (Al-Quran 37:35), dan kalimah kedua pula dinyatakan dalam Surah Al-Imran 3:144 (Al-Quran 3:114). Dalam Surah Al-Hadid ayat ke-19 pula, dengan jelas Allah SWT berfirman yang membawa maksud:
Dan orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasul-Nya, merekalah pada sisi (hukum) Tuhan mereka, (orang-orang yang mempunyai kedudukan yang tinggi darjatnya) seperti orang-orang “Siddiqiin” dan orang-orang yang mati Syahid; mereka akan beroleh pahala dan cahaya orang-orang Siddiqiin dan orang-orang yang mati syahid itu; dan (sebaliknya) orang yang kufur ingkar serta mendustakan ayat-ayat keterangan Kami, merekalah ahli neraka. (Al-Quran 57:19)
Tauhid juga merupakan simbol hubungan manusia dengan alam semesta yang berkait rapat dengan peranan antara satu sama lain. Dengan tauhid, manusia tidak akan membuat kerosakan di muka bumi, sebaliknya memberi inspirasi kepada manusia untuk mengubah perspektif sekelilingnya sesuai dengan kehendak Allah. Inilah matlamat sebenar seorang muslim yang harus dilaksanakan dengan penuh komitmen kepada Allah SWT.
Justeru, apabila nilai ini dapat diterapkan sepenuhnya di UTHM, sebuah institusi TVET yang mengisytiharkan asas paradigma tauhid dalam misinya, sudah pasti memberi banyak kebaikan dan kelebihan terutama kepada nama individu yang bergelar pensyarah atau penyelidik, fakulti dan universiti keseluruhannya dalam urusan akademik mahupun penyelidikan. Konsep Tauhid dijadikan teras dalam proses menerapkan nilai-nilai murni dan luhur dalam etika penyelidikan ke arah mencapai fadilah, agar ia membawa manfaat kepada diri, manusia lain dan sejagat. Ini sangat bergantung kepada sejauh mana niat para akademik kerana ia akan memberi impak yang sangat besar kepada aktiviti yang dijalankan seperti Sabda Rasulullah S.A.W dari Umar ibnu al-Khatab R.A dalam Riwayat al-Bukhari dan Muslim, iaitu “Sesungguhnya setiap amalan dengan niat, dan setiap amalan individu itu dikira berdasarkan apa yang diniatkan…”
Impak Konsep Tauhid dalam Pendidikan TVET
Impak yang dikatakan merujuk pada hala tuju bukan sahaja penyelidikan akademik malah dalam latihan dan kemahiran TVET yang mana akan memberikan nilai tambah ilmu yang baik, berkualiti dan bermanfaat terutama kepada isu kemaslahatan umat manusia berdasarkan keselariannya dalam syariat Islam. Pensyarah atau penyelidik yang beretika dan berintegriti tinggi yang berlandaskan tauhid akan menghasilkan penyelidikan yang asli dan bernilai selain dapat meningkatkan kualiti ahli akademik. Bahkan, pembangunan kurikulum akademik yang diusahakan dengan tugas, tanggungjawab, kredibiliti dan akauntabiliti daripada ahli akademik tersebut berlandaskan konsep tauhid dalam diri mereka melalui pengajaran dan pembelajaran, latihan dan kemahiran TVET, maka sistem pendidikan universiti akan lebih cemerlang. Ini dapat difahami melalui peranan tauhid sebagai iman bersama dua kalimah syahadah yang digariskan seperti dalam Rajah 1.
Rajah 1: Integrasi Peranan Tauhid
Sumber : Ismail, Y., & Sarif, S. M. (2011). The role of Tawhidic Paradigm in the transformation of management system. Proceedings of the National Seminar on Islamic Management Systems Transformation (Trans-SPI), pp. 127-148.
Sekiranya aktiviti akademik dan penyelidikan ini tidak dilaksanakan atas asas tauhid yang utuh, maka ketelusan penyelidikan akademik akan dinodai dengan niat yang tercemar. Keadaan ini akan menyebabkan penyelidikan akademik mempunyai kebolehpercayaan dan kesahan yang rendah kerana berlakunya manipulasi data, kaedah dan plagiat terhadap hasil kajian sedia ada. Sesungguhnya, plagiat merupakan satu jenayah akademik yang menjejaskan profesionalisme dan akan dikenakan tindakan tatatertib. Kualiti graduan siswazah yang dihasilkan melalui kajian penyelidikan bersama pensyarah atau penyelidik yang mengamalkan plagiat akan terjejas serta meninggalkan kesan dalam hasil penyelidikan yang tidak menampilkan perkembangan ilmu baru.
Di samping itu, tanpa asas tauhid yang tinggi, latihan dan kemahiran TVET yang diberikan oleh ahli akademik kepada graduan yang diharapkan dapat membantu negara dalam menyediakan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi serta mampu meningkatkan ekonomi negara, akan mengakibatkan kerja dan tugas yang dilaksanakan dalam alam pekerjaan menjadi separa mahir dan kurang berkemampuan serta tidak produktif. Ini secara langsung menjejaskan nama baik universiti, malahan akan mengakibatkan peratus kebolehpasaran graduan rendah kerana pihak industri cakna akan proses pelaksanaan sistem pendidikan di universiti tersebut.
Artikel ini juga diterbitkan di :
1. malaysiagazette.com, 1 November 2022 : https://malaysiagazette.com/2022/11/01/impak-konsep-tauhid-dalam-tvet/
Anim Zalina Azizan
Pensyarah Kanan / Penyelidik
Kumpulan Fokus TechnoBiz
Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)