BERITA HARIAN 15 Oktober 2022 :

Teknologi digunakan agensi kerajaan seperti Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dalam melaksanakan tanggungjawab mereka sememangnya setanding negara maju.

Bagaimanapun, adaptasi teknologi dalam pengurusan bencana masih belum menyeluruh, sekali gus memerlukan penambahbaikan berterusan untuk mengoptimumkan usaha menyelamat mangsa banjir dan meminimumkan kerugian.

Hal itu ditegaskan pakar teknologi kejuruteraan dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Dr Muhammad Rusydi Muhammad Razif, pada Forum Iklim Kebangsaan: Monsun Timur Laut 2022/2023, baru-baru ini.

Menurutnya, pendekatan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) boleh dimanfaatkan sepenuhnya untuk menguruskan bencana alam seperti banjir secara lebih tersusun.

“Operasi menyelamat mangsa banjir masih lagi cara lama dan belum mengoptimumkan sepenuhnya teknologi IR 4.0 khususnya internet kebendaan (IoT) seperti mengenal pasti lokasi mangsa banjir.

“Kita terlalu bergantung pada aduan mangsa dan orang ramai atau selepas tersebar video dan gambar di media sosial, barulah operasi menyelamat dilakukan. Ini menyebabkan ada mangsa lambat mendapat bantuan seperti di Sri Muda, Shah Alam sebelum ini,” katanya.

Katanya, penjejak sistem kedudukan geografi (GPS) misalnya boleh digunakan bagi mengesan lokasi banjir atau mangsa bencana itu.

Di India, penyelidik menggunakan frekuensi radio dapat membantu penyelamat mengenal pasti lokasi dan berkomunikasi dengan mangsa banjir sejauh 15 kilometer. Teknologi sama boleh dibangunkan pakar tempatan bagi meningkatkan keberkesanan operasi menyelamat mangsa.

Ukur paras air sungai

Pada masa sama, beliau turut meluahkan kebimbangan teknologi sensor digunakan JPS bagi mengukur paras air sungai mengalami pincang tugas hingga ada kemungkinan bacaan paras air sungai sukar dibuat.

Muhammad Rusydi berkata, beliau kini bekerjasama dengan pakar beberapa universiti, antaranya Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) membangunkan teknologi IoT mengukur paras air sungai menggunakan tolok hujan, kamera tanpa wayar dan teknologi pengesan yang membolehkan perubahan paras dilihat pada masa sebenar dan diakses 367 siren amaran banjir sudah dipasang di kawasan kritikal di seluruh negara. (Foto hiasan) menerusi internet dari mana-mana sahaja.

“Menerusi pendekatan ini, kita boleh mengukur paras air sungai, air pasang surut atau jumlah hujan dan maklumat itu dikumpulkan dalam satu aplikasi yang sangat membantu dalam meramal risiko banjir,” jelasnya.

Muhammad Rusydi berkata, ramalan banjir juga boleh dilakukan dengan teknologi sistem maklumat geografi (GIS) yang bukan sahaja memaparkan peta bermaklumat, bahkan membuat ramalan sesuatu keadaan bakal berlaku, sekali gus memudahkan pengurusan bencana, terutama dalam konteks operasi menyelamat.

Sementara itu, pakar alam sekitar, Prof Dr Hafizan Juahir, berkata negara sebenarnya sudah ada banyak kemudahan mampu meramal banjir, seperti penggunaan stesen hidrologi kendalian JPS yang dapat mengesan awal risiko berlakunya bah.

“Penduduk boleh melihat ramalan atau data paras air sungai dan laut ini di laman web agensi berkaitan. Cuma yang kurangnya, masyarakat tidak dimaklumkan maklumat berkenaan secara langsung (masa sebenar) dan terperinci,” katanya.

Katanya, penambahbaikan sistem sebaran maklumat antara perlu dilakukan pihak berkaitan termasuk menghantar amaran awal banjir dan perincian kawasan terjejas menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) dan aplikasi lain.

Pada masa sama, JPS menambah baik sistem amaran banjirnya bagi menghadapi musim tengkujuh kali ini. Sebanyak 367 siren dipasang di kawasan kritikal di seluruh negara dengan 119 siren siap dinaik taraf dengan menambahkan suara untuk memaklumkan kepada penduduk sekiranya penempatan mereka berisiko banjir. BERNAMA

Berita ini juga diterbitkan di :

1. bharian.com, 15 Oktober 2022 : https://www.bharian.com.my/rencana/komentar/2022/10/1012553/manfaat-teknologi-iot-urus-bencana-alam 

2. Mingguan Sarawak, 16 Oktober 2022 : 

3. Utusan Borneo Sarawak, 22 Oktober 2022 :