Martabatkan bahasa kebangsaan peranan semua pihak

Bahasa kebangsaan merupakan suatu bahasa yang melambangkan identiti kebangsaan sesuatu bangsa atau negara. Di Malaysia, bahasa kebangsaan yang juga merupakan bahasa rasmi negara ialah bahasa Melayu. Ianya telah termaktub dalam Perkara 152, Perlembagaan Malaysia. Perkara 152 Perlembagaan Malaysia menyatakan bahawa bahasa rasmi digunakan untuk semua urusan rasmi di peringkat kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan juga badan berkanun.

Jika dilihat pada perkara 152 Perlembagaan Malaysia ini, dapat kita lihat dengan jelas betapa pentingnya peranan bahasa Melayu. Namun, adakah kita merasakan itu yang terjadi di Malaysia. Adakah setiap daripada kita sebagai warganegara, sedar akan peranan dan kepentingan bahasa Melayu dalam negara ini? Apabila kita memperkatakan mengenai kepentingan bahasa Melayu, tidak bermakna kita menolak peranan dan kepentingan bahasa-bahasa lain yang ada di Malaysia, khususnya bahasa Inggeris.

Sehingga kini pelbagai usaha dilakukan oleh pihak kerajaan Malaysia untuk meletakkan bahasa Melayu di tempatnya. Antaranya ialah dengan pelaksanaan Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) pada bulan Oktober setiap tahun. Bulan Bahasa Kebangsaan merupakan suatu program yang memfokuskan kepada kempen mencintai bahasa Melayu yang pada dasarnya dipelopori penganjurannya oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Tujuan utama pelaksanaan program ini adalah untuk mendidik masyarakat kita agar dapat menyemarakkan dan seterusnya memartabatkan serta mendaulatkan bahasa kebangsaan dalam pelbagai aspek dan bidang ke arah kelestarian bahasa Melayu di Malaysia.

Memartabatkan bahasa Melayu bermaksud meletakkan bahasa Melayu pada tempat yang sepatutnya, sesuai dengan kedudukannya dan haknya sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi di Malaysia. Manakala mendaulatkan Bahasa Melayu pula bermakna menyanjung dan menghormati bahasa Melayu, menjadikannya berkuasa dan berwibawa. Tanggungjawab ini tidak seharusnya diletakkan kepada pihak DBP sahaja. Malahan setiap daripada kita berperanan dalam memartabat dan mendaulatkannya. Kitalah yang dapat menjadikan bahasa Melayu yang menjadi tonggak kepada proses pembentukan negara bangsa ini terus kekal sebagai bahasa ilmu, bahasa intelektual, bahasa sastera dan juga bahasa pentadbiran.

Dalam merealisasikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa intelektual, peranan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Kementerian Pendidikan Malaysia, institusi-institusi pendidikan awam dan swasta adalah amat penting. KPT telah menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi merangka pelan perancangan bahasa Melayu di peringkat pengajian tinggi, khususnya di universiti awam (UA). Melalui penubuhan jawatankuasa ini, telah terhasil suatu program yang dikenali sebagai Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Ilmu di UA, 2016-2020. Usaha yang berterusan di pihak kerajaan ini membuktikan kesungguhan kita dalam mendaulatkan dan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi di Malaysia terutamanya dalam sektor awam.

Sokongan daripada pihak kerajaan dan teraju utama negara perlu dipertingkatkan dalam mengalakkan dan memperbanyakkan bahan-bahan ilmiah dalam bahasa Melayu seperti penyelidikan, penulisan dan penerbitan. Kerajaan menghantar para intelektual ke luar negara bagi mendapatkan ilmu dalam pelbagai bidang. Namun ilmu itu akan tetap kekal dalam bahasa yang dipelajari sahaja seandainya ilmu itu tidak diolah kembali dalam bahasa Melayu melalui penulisan. Dengan memperbanyakkan bahan ilmiah dalam bahasa Melayu, barulah hasrat kerajaan untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu akan menjadi kenyataan. Jika ingin menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, peranan para intelektual dan ahli akademik di Malaysia adalah sangat penting. Sumbangan kepakaran mereka adalah sangat bermakna dalam merealisasikan hasrat kerajaan untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

Baru-baru ini, Ahli Parlimen Australia kelahiran Malaysia, Bon Cheng Lim atau Sam Lim telah menarik perhatian ramai apabila membuat ucapan sulungnya di parlimen negara itu dengan menggunakan bahasa Melayu dan bahasa Mandarin. Sam Lim kini berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Tangney di Perth, Australia. Perdana Menteri Malaysia yang ke-9, YAB Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pula telah mencipta satu lagi sejarah sebagai pemimpin tertinggi Malaysia yang pertama berucap menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Perhimpunan diplomatik terbesar yang berlangsung di New York pada 24 September 2022 telah menyaksikan keupayaan bahasa Melayu di pentas global serta penerimaan masyarakat luar terhadap bahasa kebangsaan kita. Terima kasih atas usaha-usaha mereka yang telah membawa bahasa Melayu kepada dunia luar dan membuktikan bahawa tidak ada cacat celanya menggunakan bahasa Melayu di peringkat global.

Jika tidak kita sendiri sebagai warganegara Malaysia mendaulatkan bahasa kebangsaan kita, siapa lagi yang boleh kita harapkan. Adalah amat menyedihkan sekiranya warganegara Malaysia sendiri yang merendahkan martabat bahasa kebangsaannya. Sedangkan, tanpa kita sedari ramai orang asing yang berminat untuk mempelajari bahasa Melayu kerana merasakan ianya suatu bahasa yang unik dan mudah untuk dipelajari dan dituturkan.

Terdapat banyak negara di dunia ini yang telah membuktikan mereka boleh maju dan kehadapan setanding negara barat, walaupun hanya dengan bahasa ibunda mereka sendiri. Oleh itu, marilah kita mencontohi negara-negara yang seperti ini dan bersama-sama menyokong hasrat dan usaha kerajaan dalam memartabatkan bahasa Melayu dengan menggunakan bahasa Melayu yang betul agar bahasa kita sentiasa dipandang tinggi. Gunakanlah bahasa yang baik dalam kehidupan seharian kita sama ada dalam perbualan mahupun dalam penulisan. Setiap sumbangan kita dalam memartabatkan dan mendaulatkan bahasa Melayu mampu memberi impak besar terhadap perkembangan bahasa Melayu. Dengan adanya sokongan semua pihak, bahasa Melayu mampu berdiri seiring dengan cabaran semasa.

Artikel ini juga diterbitkan di :

1. malaysia gazette.com, 15 Oktober 2022 : https://malaysiagazette.com/2022/10/15/peranan-semua-pihak-martabatkan-bahasa-kebangsaaan/

2. bernama.com, 31 Oktober 2022 : https://www.bernama.com/v2/bm/tintaminda/news.php?id=2133608

 

 

Siti Hajar Bidin

Pusat Pengajian Bahasa

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

 

 

Categories
E-WacanaKeratan Akhbar 2022Rencana