BATU PAHAT, 11 September 2022 – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Pusat Hubungan Industri dan Masyarakat telah diamanahkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk menyelaras sekali gus menjayakan program TVET UNITY@Parit Sulong.
Program ‘University for Society@ Keluarga Malaysia atau UNiTY itu diadakan bagi menyokong amanat Menteri Pengajian Tinggi bagi tahun 2022 iaitu “Memperhebat Strategi, Melonjak Kecemerlangan” melalui strategi “Memacu Kesejahteraan Komuniti.”
Program UNiTY ini memberi fokus kepada bidang kepakaran atau tujahan institut pengajian tinggi (IPT) untuk dimanfaatkan oleh masyarakat setempat berdasarkan kepada pendekatan inovasi sosial.
Salah satu skop pelaksanaan program UNiTY adalah berkaitan Technical and Vocational Education Training (TVET) iaitu membantu komuniti menerusi perkongsian kepakaran teknikal kejuruteraan, khidmat penyelidikan dan sains sosial dalam peningkatan kesejahteraan kehidupan dan sosio ekonomi.
Program TVET UNITY@Parit Sulong menyasarkan bantuan teknikal kepada penduduk B40 dan mangsa bencana sekitar Dun Semerah, Dun Sri Medan dan Kampung Bintang, Peserai.
Program yang melibatkan tiga fasa bagi September 2022 ini dilaksanakan bertujuan untuk berkongsi dan memindahkan teknologi dan pengetahuan yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
Pemindahan teknologi dan pengetahuan dibuat melalui pelaksanaan aktiviti kemasyarakatan yang mengkhususkan kepada bidang TVET dari IPT seperti semi konduktor, penyaman udara dan elektrik.
Fasa satu program TVET UNITY@Parit Sulong telah berlangsung pada 9 hingga 11 September lalu, melibatkan penyertaan UTHM, Kolej Komuniti Segamat, Kolej Komuniti Segamat 2, Kolej Komuniti Kluang dan Kolej Komuniti Batu Pahat.
Untuk fasa pertama ini, tiga surau dan dua rumah telah dibaik pulih melibatkan kerja-kerja seperti kemasan pendawaian elektrik, penukaran kipas, penyelenggaraan penyaman udara dan pembaikan soket.
Antara yang diberi tumpuan untuk fasa ini adalah misi membantu sebuah rumah di Kampung Parit Terus, Sri Medan yang musnah akibat kebakaran.
Menurut tuan rumah, Sabariah Adanan, beliau amat bersyukur kerana diberi bantuan dan pertolongan seumpama itu dan amat berterima kasih kepada pihak KPT kerana sentiasa prihatin dengan kebajikan golongan yang kurang berkemampuan.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad turut hadir meninjau kerja-kerja penyelenggaraan sebagai tanda prihatin beliau kepada komuni setempat.