Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) memperoleh endowmen bernilai AS$520,535.00 daripada Arcstone Singapura bagi membangunkan program pendidikan yang bertujuan melatih generasi masa hadapan yang berkemahiran dalam pembangunan pembuatan digital.
Program pendidikan yang bakal dijalankan oleh Arcstone dan UTHM tersebut memperkenalkan teknologi berkaitan Industri 4.0 kepada pelajar institut pengajian tinggi dan profesional yang bekerja, sekali gus menyediakan mereka dengan kemahiran yang diperlukan.
Menggunakan perisian Sistem Pelaksanaan Pembuatan (MES) yang dibekalkan oleh Arcstone, pelajar UTHM berpeluang mempelajari fungsi asas dan pengetahuan teknikal untuk mengendalikan set alat pembuatan digital.
Untuk tujuan pemindahan ilmu dan teknologi, perisian ini juga akan diintegrasikan dengan peralatan yang disumbangkan oleh Fraunhofer Institute for Mechatronic Systems Design dari Jerman untuk membangunkan simulasi pembuatan digital.
Usahasama ini menyumbang kepada pembangunan TVET terutamanya dalam menghasilkan modal insan yang kompeten dan memenuhi permintaan industri bagi mendepani cabaran Revolusi Perindustrian 4.0.