Oleh Wan Muhammad Idham Wan Mahdi

BATU PAHAT – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP) menjalinkan kerjasama dengan Centre for Sustainable Small-Owner, Asia School of Business (CSS-ASB) dan Procter & Gamble (P&G) bagi menjayakan inisiatif di bawah P&G Smallholder Program dan Pembekalan Bertanggungjawab yang mampan dalam Industri Kelapa Sawit.

Bagi merealisasikan hasrat kerjasama ini, satu majlis menandatangani memorandum perjanjian (MoA) telah diadakan di Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, kampus induk pada 28 Julai 2022 lalu.

FPTP, CSS-ASB dan P&G telah bersetuju untuk menjalankan kerjasama dalam aktiviti kemampanan industri kelapa sawit di Johor dalam inisiatif P&G Smallholder Program, khususnya berkaitan pengukuhan kepimpinan Pertubuhan Tani Niaga Lestari Negeri Johor (PERTANIAGA), melahirkan Duta Lestari (Ambassador) dan juga kajian mengenai model pusat pengumpulan (Collection Centre).

FPTP diwakili oleh Ahli Lembaga Pengarah, UTHM Commercial Sdn. Bhd., Noor Fauzi Abd Hamid  manakala CSS-ASB diwakili Pengarahnya, Profesor Madya Dr. Asad Ata.

Sesi menandatangani dokumen perjanjian itu turut disaksikan oleh Dekan FPTP, Prof. Dr. Wan Fauziah Wan Yusoff; Pengurus Kanan Kelestarian Global, P&G, Mohd Suffian Mohd. Muhili; Timbalan Dekan FPTP (Penyelidikan, Pembangunan dan Penerbitan), Prof. Madya Dr. Md Asrul Nasid Masrom selaku ketua projek serta pegawai kanan fakulti, CSS-ASB dan juga PERTANIAGA.

PM Dr. Asad dalam ucapannya berkata penglibatan UTHM kali ini adalah untuk mengukuhkan strategi yang telah digariskan oleh P&G melalui CSS-ASB, terutama dalam melahirkan lebih banyak ‘Duta Lestari’ di samping mengukuhkan organisasi PERTANIAGA untuk lebih maju pada masa akan datang.

Sementara itu, Prof. Dr. Wan Fauziah pula berkata penglibatan UTHM dalam insiatif tersebut bukan hanya untuk program itu, tetapi juga sebagai amal jariah terhadap pembangunan jangka panjang, khususnya untuk komuniti dan industri kelapa sawit Johor.

Manakala Mohd Suffian pula dalam ucapannya turut menghargai komitmen CSS-ASB dan UTHM dalam menjayakan inisiatif P&G terhadap agenda kelestarian industri sawit dunia, terutama di Johor.

Untuk rekod, P&G Smallholder Program telah dijalankan sejak tahun 2015 dengan melibatkan pekebun kecil dalam industri kelapa sawit di sekitar Batu Pahat dan Pontian, Johor.

Sehingga kini, program ini dijalankan bersama lapan pusat pengumpulan sawit dan berjaya membantu lebih 300 pekebun kecil sawit di Johor yang memiliki pensijilan RSPO di peringkat antarabangsa. Pensijilan ini melayakkan hasil sawit mereka menerima ‘premium’ dan juga menyumbang kepada amalan terbaik dalam pengurusan ladang kelapa sawit.

Program ini juga sebagai salah satu inisiatif P&G dalam menyambut saranan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) dalam menjayakan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).