Oleh Ir. Dr. Ahmad Hamdan Ariffin, Ts. Dr. Mohd Fadhli Zulkafli dan Dr. Syafiqah Nur Azrie Safri

BATU PAHAT –Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menjalinkan kerjasama dengan empat syarikat penyedia perkhidmatan dron bertujuan membangunkan penyelidikan berkualiti khususnya dalam bidang teknologi dron.

Jalinan kerjasama tersebut membabitkan Syarikat Aerodyne Technology Sdn Bhd, VStream Revolution Sdn Bhd, Malaysia Unmanned Drones Activists Society (MUDAS) dan Lestari Aero Industries Sdn Bhd.

Rentetan itu, satu majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) telah dilaksanakan pada 9 Ogos 2022 lalu bertempat di Perpustakaan Tunku Tun Aminah, kampus induk.

MoU tersebut ditandatangani oleh Naib Canselor UTHM, Profesor Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim, disaksikan oleh Dekan FKMP, Profesor Madya Ir. Ts. Dr. Bukhari Manshoor.

Prof. Ruzairi dalam ucapannya berkata jalinan kerjasama ini dapat mengukuhkan lagi hubungan antara UTHM dengan industri luar, seterusnya mampu memperkasakan bidang teknologi dron dan mengembangkan lagi daya saing penyelidikan dan inovasi di UTHM.

Tambah beliau inisiatif seumpama ini diharap mampu meningkatkan kepakaran dan kemahiran bakat dalam kalangan staf dan pelajar di universiti ini.

Jalinan kerjasama bersama empat syarikat ini melibatkan kerjasama berkaitan perkongsian pengetahuan dalam bidang penyelidikan dan inovasi, pertukaran staf dan pelajar, program latihan dan pembangunan staf serta pelajar, dan pengkomersilan produk.

Hadir sama ke majlis tersebut, DroneTech, Ecosystem Development Division, MRANTI Corporation Sdn Bhd bagi memberi sokongan sekali gus melihat potensi pembangunan ekosistem dron di UTHM.

Turut diadakan penyerahan simbolik penajaan oleh Syarikat Terbitan Universiti (STU), Avitex Solution (M) Sdn. Bhd. untuk program International Conference on Mechanical and Manufacturing Engineering (ICME 2022) dan simbolik pembayaran Fi Perlesenan Harta Intelek kepada Naib Canselor.

 

*Kerjasama UTHM bersama Lestari Aero Industri Sdn. Bhd.

*Kerjasama UTHM bersama MUDAS

*Kerjasama UTHM bersama VStream Revolution Sdn. Bhd.