BATU PAHAT – Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mencipta sejarah apabila berjaya mentauliahkan 13 peserta Program Persijilan Juruteknik Bertauliah (CSTP) Sektor Penyejukbekuan dan Penyamanan Udara (RACs).
Penganjuran Program CSTP RACs bertujuan untuk melahirkan juruteknik bertauliah yang patuh terhadap Akta Kualiti Alam Sekeliling (1974) dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Pengurusan Refrigeran) 1999 (Pindaan) 2004 serta memberi kesedaran dan pengetahuan kepada mereka yang terlibat dalam pengurusan, penyediaan, pengendalian dan penyelenggaraan sistem penyejukan.
Program ini turut memberi pendedahan tentang pengurusan dan masalah alam sekitar terutama berkaitan penipisan lapisan ozon dan kesan rumah kaca yang sedang dialami di Malaysia dan seluruh dunia pada masa kini.
Program ini juga turut memberi pendidikan dan pengetahuan tentang etika servis dan amalan yang baik dalam menjaga keselamatan diri, peralatan dan alam sekeliling (Code of Good Practices) semasa menjalankan kerja-kerja yang melibatkan penggunaan refrigerant.
Menurut Ketua Jabatan Kemahiran dan Profesional, FPTV, Ts Dr. Nizammudin Razali, 13 peserta terlibat terdiri daripada pelajar tahun akhir dan graduan FPTV yang telah berkhidmat di kolej vokasional.
Tambah beliau, program ini merupakan program pertama CSTP setelah FPTV dijadikan Pusat Latihan Bertauliah (ATC) oleh pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS).
“Mengikut perancangan, program ini akan dilaksanakan sebanyak empat sesi pada tahun ini kerana pihak kami berhasrat untuk mentauliahkan pelajar dengan sijil pentauliahan sebagai Juruteknik Bertauliah RACs di bawah JAS yang merupakan syarat tambahan sebagai Pegawai Penilai bagi program SKM Penyamanan Udara (HVAC),” katanya.
Program yang pertama kali ini dianjurkan ini diharap dapat meningkatkan lagi kebolehpasaran graduan FPTV terutama dalam bidang penyamanan udara kerana mereka bukan sahaja dibekalkan dengan sijil SKM daripada pihak Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), malah turut mendapat pentauliahan sebagai juruteknik bertauliah.