Sumber: Farhawahidah Ahmad Puad
Dua atlet kanu Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah terpilih menyertai Kem Latihan Kanu di Tiszafured, Hungary anjuran Majlis Sukan Negeri Johor yang berlangsung pada 7 hingga 28 Jun 2022 lalu.
Mirza Adli Shaharaziz dari Pusat Pengajian Diploma (PPD) dan Norkiasah Zaenuddin dari Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV) menyertai kem tersebut sebagai persediaan menyertai Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 yang bakal berlangsung pada akhir September ini.
Menurut Pegawai Belia dan Sukan Kanan, Pusat Sukan Universiti, Farhawahidah Ahmad Puad untuk menghasilkan atlet bertaraf dunia serta mencapai tahap prestasi unggul, pendedahan terhadap latihan di luar negara memainkan peranan yang penting.
“Ianya merupakan inisiatif dalam mendedahkan atlet kepada persekitaran yang lebih mencabar dengan sokongan kemajuan dan teknologi yang seiring dengan peningkatan prestasi atlet.
“Bukanlah bermakna kemudahan dan kepakaran sedia ada tidak dapat menampung keperluan atlet tetapi dengan adanya sokongan dan kepakaran dari luar negara ini, beberapa perkara dapat kita kuasi dengan cepat,” katanya.
Walaupun memerlukan perbelanjaan yang agak tinggi bagi memastikan inisiatif ini dapat dilaksanakan, namun hasil daripada pelaburan ini sudah pasti akan menjanjikan keuntungan kepada negara dengan melahirkan jaguh-jaguh sukan ternama yang mampu melonjakkan pembangunan sukan peringkat antarabangsa.
Tambah Farha, persekitaran dan ekosistem kejayaan itu perlu wujud dalam diri atlet bagi memberikan keyakinan untuk beraksi dan mempamerkan kualiti juara.
“Pemilihan mereka mengikuti latihan di luar negara ini membuktikan bahawa atlet institut pengajian tingg (IPT) menjadi aset yang penting dalam meningkatkan pembangunan sukan negara.
“Sebagai contoh, hasil pungutan pingat di Kejohanan Sukan Sea Hanoi 2021 lalu telah membuktikan bahawa atlet IPT merupakan aset yang bernilai kepada negara apabila 83 daripada 174 pingat adalah datangnya daripada atlet IPT.
“Walau bagaimanapun, kerjasama daripada pelbagai pihak diperlukan bagi memastikan agenda sukan negara tercapai,” katanya.
UTHM berharap inisiatif seperti ini dapat membantu negara melahirkan legasi sukan yang hebat di pentas dunia seperti Tan Sri Dr. M Jegathesan, Datuk M Rajamani, Sazali Samad, Datuk Lee Chong Wei, Datuk Nicol David, Ziyad Zulkifli dan Abdul Latif Romly.