Oleh Farhawahidah Ahmad Puad

BATU PAHAT – Seramai 10 atlet Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menyertai kontinjen negara ke Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2022 yang akan berlangsung pada 26 Julai hingga 08 Ogos 2022 ini di Ubon Ratchathani, Thailand.

Mereka terdiri daripada tujuh atlet rowing, dua atlet silat dan seorang atlet futsal yang bakal menggalas misi penting dalam kejohanan tersebut.

Pusat Sukan Universiti (PSU) melalui Bahagian Kecemerlangan Sukan telah menganjurkan Program Psikologi Sukan bagi mempersiapkan atlet ke pentas AUG 2022 ini.

Program ini bertujuan memberi pendedahan berkaitan konsep dan latihan ketahanan mental yang dilihat menjadi langkah utama bagi melengkapkan siri latihan atlet.

Bersaing di pentas sukan antarabangsa memerlukan atlet bersedia dari pelbagai aspek bagi mencapai prestasi optimum.

Atlet memerlukan ketahanan mental yang kuat dalam menghadapi cabaran dan mengekalkan kawalan emosi serta tingkah laku.

Pengarah Pusat Inovasi dan Teknologi Sukan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Ts. Dr. Hadafi Fitri Mohd Latip telah dijemput untuk berkongsi tentang panduan berkaitan kepentingan dan kesan latihan psikologi sukan terhadap prestasi atlet.

Penekanan terhadap tiga fasa program psikologi sukan turut ditekankan kepada para atlet bagi memahirkan mereka kepada penguasaan latihan psikologi sukan ini.

“Seringkali kita dengar bahawa latihan psikologi sukan ini adalah untuk atlet yang bermasalah dan hanya untuk pemulihan segera.

“Malah ada juga yang mengatakan bahawa latihan psikologi sukan tidak membantu dalam peningkatan atlet.

“Inilah mitos yang sering kali dibangkitkan oleh segelintir pihak yang tidak melihat sukan itu secara terbuka dan luas,” katanya dalam perkongsian tersebut.

Pelbagai kajian dan dapatan telah membuktikan bahawa menerusi latihan psikologi sukan atlet mampu menghasilkan emosi yang baik, dapat mengurangkan risiko tekanan dan kebimbangan serta memberi kesan yang positif dari aspek psikomotor dan kognitif.

Tambah beliau, cara dan peranan jurulatih dalam mendorong seseorang atlet itu juga merupakan aspek penting terhadap peningkatan prestasi atlet.

PSU berharap, inisiatif ini dapat membantu dalam melahirkan atlet minda juara sekali gus mempersiapkan atlet dalam memburu pingat di Sukan AUG 2022 ini.

Seramai 275 atlet bakal menggalas cabaran negara menerusi penyertaan 19 acara sukan dengan sasaran 35 pingat emas.