Oleh Dr. Mohd Yussni Hashim

KUALA LUMPUR – Seramai 24 kumpulan daripada Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mengambil peluang untuk menyertai The Malaysian Business Angel Network (MBAN) Summit 2022 yang dilaksanakan secara fizikal dan secara maya di Auditorium, Enterprise 4, Mranti Park, Bukit Jalil pada 23 dan 24 Jun 2022 lalu.

Penyertaan UTHM melibatkan wakil daripada Pusat Inovasi dan Pengkomersialan (ICC), Pusat Pembangunan Perniagaan (BizDec), Pusat Teknousahawan Universiti (PTU), beberapa Syarikat Terbitan Universiti (STU) iaitu Ittihad Maju Jaya Sdn. Bhd., Etienne Innovation Sdn. Bhd., Swidweb Solution Sdn. Bhd., KAFF Synergy Sdn. Bhd. dan wakil dari syarikat terbitan pelajar iaitu Genesys.my yang baru-baru ini telah berjaya bergelar juara dalam Aliiance Bank Ecobiz Challenge Musim keempat.

Selain itu, enam pelajar sarjana muda yang mewakili Kelab Keusahawanan dan Teknologi (KKDT), Kelab Enactus, Technology Management Business Club (TMB) dan Kelab Gerakan Pengguna Siswa (GPS) turut menyertai program tersebut.

Penganjuran MBAN Summit 2022 kali ini yang bertemakan “The Future of Innovation, Investment & Entrepreneurship” telah disempurnakan oleh Presiden MBAN, Mr. Alan Lim.

Sidang kemuncak ini turut diserikan dengan kehadiran Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia, Dato’ Sri Dr. Adham Baba.

MBAN Summit 2022 telah berjaya dilaksanakan dengan agenda perbincangan yang padat, menarik, berimpak dan menepati tema.

Manakala para panel yang dijemput pula terdiri daripada ikon dan pakar dari agensi korporat, perbankan dan modal teroka (Venture Capital) dalam dan luar negara.

Selain itu pada penghujung acara sidang kemuncak ini, peserta juga dapat menyaksikan secara langsung bagaimana syarikat pemula (Statups) dari negara Asia melakukan sesi ‘pitching’ di hadapan juri terpilih untuk mendapatkan peluang pelaburan dari pelabur.

Manakala bagi sesi “Enter The Tigers’ Lair Asean Edition” pula turut dikendalikan dengan lancar dan bertenaga oleh Ahli Majlis MBAN, Elain Lockman yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Ata PLus dan juga Ahli Lembaga Pengarah UTHM.

Pemenang bagi sesi “Enter The Tigers’ Lair Asean Edition” jatuh kepada GK Aqua Sdn. Bhd. iaitu sebuah syarikat bioteknologi akuakultur di Port Dickson, Negeri Sembilan yang menghasilkan udang galah melalui kaedah unik pembiakan terpilih.

UTHM berharap pendedahan yang para peserta peroleh melalui sidang kemuncak ini mampu membuka minda dan menambahkan lagi pengalaman serta pengetahuan mereka, sekali gus dapat dikongsikan kepada warga UTHM yang lain.