Oleh Nurulisyazila Othaman
BATU PAHAT – Dengan menjadikan budaya masyarakat Jepun sebagai contoh, Pusat Pengajian Bahasa, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan ‘Clean and Green Culture in Japan-Furoshiki Workshop’ secara dalam talian pada 11 Mei 2022 lalu.
Bengkel dengan kerjasama National Institution of Technology, Kure College, Jepun ini melibatkan 160 peserta terdiri daripada staf dan pelajar UTHM, Kolej Kure dan SMK (P) Temenggong Ibrahim Batu Pahat.
Bengkel yang telah diadakan melalui aplikasi Zoom ini berjaya memberi pengalaman baharu kepada semua peserta dalam menanam semangat mencintai alam sekitar melalui amalan budaya yang baik oleh masyarakat Jepun.
Budaya Furoshiki ialah budaya yang menonjolkan kreativiti masyarakat Jepun dalam membungkus barangan seperti makanan, pakaian, botol dan lain-lain menggunakan kain.
Dengan hanya selembar kain, mereka mampu mencipta pelbagai bentuk ikatan dan simpulan sehinggakan hasilnya kelihatan cantik dan menarik.
Sesi perkongsian kali ini menampilkan Profesor Madya Dr. Ogura Asami dari National Institution of Technology, Kure College, Jepun sebagai menjadi penceramah jemputan.
Beliau memperkenalkan budaya ini kepada komuniti luar secara sukarela dengan tujuan mengajak orang ramai menghargai alam sekitar dengan mengurangkan penggunaan plastik dan kertas. Amalan ini secara tidak langsung dapat memelihara kelestarian alam sekitar.
Para peserta dilihat sangat teruja semasa mengikuti sesi perkongsian yang telah dijalankan ini. Rata-rata pelajar telah memberikan komen yang positif selepas menyertai bengkel furoshiki ini.
Menurut peserta Chia Sze Yee, mereka sangat gembira kerana berpeluang mempelajari tentang furoshiki sekali gus dapat mengenali budaya masyarakat Jepun yang mementingkan alam sekitar.
“Diharapkan program seperti ini dapat diadakan lagi pada masa akan datang,” katanya.
Sementara itu, penyelaras program, Hiyama Junko @ Noor Siti Abdullah pula turut berharap para peserta dapat melihat persamaan dan perbezaan tentang keunikan budaya masyarakat Malaysia dan juga masyarakat Jepun melalui sesi perkongsian tentang furoshiki ini.
Beliau juga berharap agar program ini dapat mengeratkan lagi hubungan antara pelajar Malaysia dan pelajar Jepun, selain dapat berkongsi tentang kepelbagaian budaya yang masih terpelihara dan diamalkan sehingga ke hari ini.