Oleh Ts. Dr. Nor Haslinda Abas

BATU PAHAT, 27 Mei 2022 – Seramai 35 sukarelawan dari Kelab Kejuruteraan Awam (KKA), Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam bina dan Kelab Kembara Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menyertai aktiviti membersihkan pantai melalui program “Let’s Plogging” bertempat di Pantai Sungai Lurus, Senggarang, Johor.

Kumpulan sukarelawan berkenaan berganding bahu mengutip sampah seperti botol plastik dan kaca serta bekas makanan dan minuman di sekitar pantai tersebut.

Menurut Penasihat KKA, Ts. Dr. Nor Haslinda Abas, program ini mendapat tajaan dari Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) bagi pembelian peralatan seperti reacher grabber, sarung tangan dan plastik hitam untuk mengisi sampah.

Aktiviti gotong-royong yang berlangsung lebih tiga jam ini diketuai oleh Zidatul Che Mit selaku Pengarah Program, yang juga merupakan ahli KKA.

Turut hadir berganding bahu, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, FKAAB, Profesor Madya Ts. Dr. Azeanita Suratkon.

Tambah Dr. Haslinda, Pantai Sungai Lurus dipilih sebagai lokasi program kerana pantai ini sering menjadi tumpuan pengunjung tempatan dan luar untuk berekreasi dan menjamu selera terutama ketika hujung minggu.

“Oleh itu kebersihan kawasan pantai amatlah penting bagi memastikan keselesaan pengunjung dan kelestarian alam sekitar,” katanya.

Pelaksanaan program ini juga bagi membentuk mahasiswa yang cakna tentang kebersihan dan kelestarian alam sekitar dan sebagai salah satu aktiviti Community Social Responsible (CSR).

“Ia juga bagi menyahut seruan aspirasi United Nation Sustainable Development Goals (UNSDG) dalam kluster-3 Good Health and Well Being dan kluster ke -15 (Life on Land), serta menyediakan alternatif bagi pelajar UTHM untuk menilai kebolehan dan tahap penguasaan diri dalam bidang kecergasan fizikal,” kata Dr. Haslinda.