PAGOH, 23 Mei 2022 – Pusat Penyelidikan Pemuliharaan dan Penggunaan Mapan Sumber-Sumber Semulajadi (SUNR) di bawah Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST) mula menggunakan dron air berteknologi kecerdasan buatan untuk kerja-kerja penyelidikan dan juga pengajaran dan pembelajaran (PdP) di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).
Menurut Ketua Pusat, Ts. Gs. Dr. Kamarul Rahim Kamarudin penggunaan dron PowerVision PowerDolphin Intelligent Water Drone dilihat memberi lebih banyak pilihan aplikasi berasaskan teknologi kecerdasan buatan, seperti smart fishing menggunakan sistem bait container, sistem payload, dan sistem fishfinder PowerSeeker.
Tambah beliau, dron air tersebut juga boleh berfungsi dalam operasi menyelamat di sungai dan di laut dan juga menawarkan kaedah pemetaan waypoint dan kaedah pemetaan kawasan bagi tujuan menghasilkan peta batimetrik dalam pengukuran kedalaman dasar sesuatu ekosistem akuatik, seterusnya menentukan keadaan rupa bumi lantai ekosistem tersebut.
“Perkongsian ilmu pengetahuan tentang teknologi dan aplikasi dron air amat penting dalam memastikan pengetahuan dan kemahiran dalam kalangan warga FAST dapat dipertingkatkan,” katanya.
Oleh itu, satu perkongsian awal telah dilaksanakan untuk para pelajar tahun satu program Sarjana Muda Sains Kepelbagaian Biologi dan Pemuliharaan dan pelajar program Sarjana Sains Pemuliharaan Kepelbagaian Biologi tentang cara mengendalikan PowerVision PowerDolphin Intelligent Water Drone di Kuala Jasin, Taman Negara Johor Endau-Rompin (TNJER) Peta ketika berlangsungnya kerja lapangan pada 15 hingga 19 Mei 2022 lalu.
Manakala pada 20 Mei 2022, program Drone; The Enemy of Eagle anjuran Kelab Sains dan Teknologi (STC) UTHM telah diadakan bertujuan memberi pendedahan tentang teknologi dron melalui ceramah yang disampaikan oleh Dr. Kamarul serta sesi praktikal penerbangan dron.
Dr. Kamarul juga turut menyentuh tentang teknologi dan aplikasi dron air terutama dalam aktiviti penyelidikan dan operasi menyelamat.
Usaha untuk mendaftarkan kelab dron FAST iaitu FASTDron diharap dapat meningkatkan lagi minat warga FAST untuk mempelajari perihal dron dan seterusnya menggalakkan lebih ramai warga fakulti berkenaan terlibat dalam operasi dron udara dan dron air bagi tujuan penyelidikan dan PdP.
Beliau berharap penggunaan dron air berteknologi kecerdasan buatan di FAST khususnya dan UTHM amnya akan merancakkan lagi aktiviti-aktiviti penyelidikan terutamanya yang berkaitan ekosistem akuatik.
“Semoga usaha ini juga dapat membantu mencapai visi, misi dan objektif UTHM ke arah menjadi Global Technopreneur University menjelang tahun 2030, Muar Perkasa 2030 dan juga Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025,” katanya.