Diam tak diam kita sudah masuk ke fasa terakhir iaitu 10 hari terakhir dalam bulan Ramadan tahun ini. Sungguh cepat masa berlalu. Maka benarlah firman Allah SWT : “ayyaaman ma’duudaat,” yang bermaksud puasa itu hanyalah sebilangan hari sahaja. Maka Ramadan bakal meninggalkan kita sekali lagi pada tahun ini!. Adakah kita masih dapat bertemu dengannya lagi pada tahun hadapan? Jadi marilah sama-sama kita perbanyakkan berdoa terutama pada 10 malam terakhir ini agar kita dapat bertemu lagi dengan Ramadan pada tahun hadapan. Allahumma aamiin!
Di dalam surah al-Qadr, Allah SWT telah menjelaskan bahawa al-Quran diturunkan pada malam yang penuh berkat iaitu Malam al-Qadr atau Lailatul Qadr. Malam berkah tersebut adalah lebih baik daripada 1000 bulan yang mana menyamai lebih 83 tahun. Bayangkan jika ibadah kita dilakukan pada malam tersebut dengan bersungguh-sungguh mengharapkan keampunan Allah dan reda-Nya serta perlepasan daripada azab api neraka Jahannam, maka betapa beruntungnya kita semua. Lailatul Qadr adalah malam yang eksklusif untuk hamba-hamba Allah yang benar-benar beriman dan bertaqwa. Kerana betapa hebatnya Malam al-Qadr yang berkah ini, Allah SWT telah menyebut namanya sebanyak tiga kali dalam surah al-Qadr tanpa menggunakan kata ganti diri ketiga. Tambahan lagi, dek kerana kehebatan malam ini, dikatakan terdapat 46 qaul atau pendapat ulama yang berbeza berkaitan ketetapan malam Lailatul Qadr, tanda-tanda berlakunya malam tersebut dan isu-isu yang lain.
Lailatul Qadr adalah malam yang diberkati oleh Allah SWT kerana diturunkan padanya al-Quran. Ramadan menjadi bulan mulia dan berkat kerana ia adalah bulan yang diturunkan padanya al-Quran. Oleh itu, seluruh umat Islam pada saat ini sedang bersungguh-sungguh melakukan ibadah seperti solat Tarawih, berqiyam menunaikan solat Tahajjud, membaca al-Quran, mentadabbur dan memahami makna-maknanya, serta cuba untuk khatam beberapa kali. Mereka melaksanakan ibadah ini di sepanjang malam dan siang harinya dengan bersungguh tanpa syarat demi mengharapkan pengampuan Allah SWT. Setelah berakhirnya Ramadan mereka umpama bayi yang baru lahir tanpa ada sebarang dosa.
Pada fasa terakhir ini, kita sepatutnya menghadirkan diri ke masjid bersama-sama ahli keluarga untuk sama-sama melakukan ibadah solat Tarawih, beriktikaf, dan membaca al-Quran. Bahkan kita sepatutnya melipat gandakan amalan kita terutamanya pada malam-malam ganjil dengan bersungguh-sungguh seperti yang diamalkan oleh baginda Nabi Muhammad SAW. Tapi malangnya realiti seperti ini kita hanya dapati di beberapa tempat sahaja. Para Jemaah semakin berkurangan berbanding pada awal fasa bulan Ramadan. Kenapa ini terjadi? Adakah mereka mula memikirkan tentang persiapan Hari Raya Aidil Fitri yang bakal menjelang sehingga melupakan peluang keemasan ataupun hadiah paling terbesar dalam sejarah umat Islam ini?
Dalam mereka berkobar-kobar menunggu lebaran menjelang, ada sebahagian besar umat Islam yang lain, pada 10 malam terakhir ini, mereka berlumba-lumba melakukan amal soleh. Ada di antara mereka menjadikan cuti tahunan mereka sebagai cuti khusus untuk beramal dan beribadah pada malam-malam terakhir di masjid bersama seisi keluarga.
Doa adalah senjata bagi umat Islam. Ia menjadi kunci kekuatan untuk kita terus beribadah dan berhubung dengan Allah SWT tanpa ada batasnya. Allah SWT sendiri menyuruh kita sentiasa berdoa kepadaNya. Firman Allah dalam surah Ghafir ayat 60 yang bermaksud: “Dan Tuhanmu berfirman: “Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonanmu..”.
Umat Islam disuruh untuk memperbanyakkan doa terutama pada malam-malam ganjil di 10 terakhir Ramadan dengan membaca doa yg telah diajar oleh Nabi SAW kepada isteri baginda Aisyah r.a iaitu “Allahuma innaka ‘afuwwun, tuhibbul ‘afwa fa’fu’anni”. Ertinya: “Ya Allah sesungguhnya Engkau Tuhan Maha Pengampun yang menyukai orang yang meminta keampunan, maka ampunilah aku”.
Dalam surah al-Baqarah ayat 186, Allah SWT berfirman: “Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu tentang Aku, maka sesungguhnya Aku adalah dekat. Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepadaKu, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintahKu) dan hendaklah mereka beriman kepadaKu, agar mereka selalu berada dalam kebenaran”.
Terdapat satu perkara yang sangat hebat di dalam ayat ini yang mana di dalam al-Quran kebiasaan jika Allah SWT menggunakan perkataan sa ala atau yas alunaka, yang bermaksud bertanya, pasti akan disusuli dengan perkataan qul yakni katakanlah (wahai Muhammad). Hal ini seperti dalam surah al-Baqarah, ayat 219: “Yas aluunaka ‘anil khamr wal maisir, qul fihima ithmun kabiirun..”. Maksudnya: “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai arak da judi. Katakanlah: “Pada keduanya ada dosa besar..”.
Sebaliknya dalam surah al-Baqarah ayat 186, ia tidak digunakan perkataan qul kerana ingin menunjukkan bahawa Allah SWT itu sangat dekat dengan hamba-Nya yang berpuasa di bulan Ramadan ini tanpa perlu ada perantaraan Nabi SAW untuk menyatakan kepada mereka akan hal tersebut. Itulah kehebatan berdoa di bulan yang penuh berkat ini.
Maka dengan petanda yang demikian, marilah sama-sama kita rebut peluang yang berbaki hanya beberapa hari sahaja lagi untuk kita memperbanyakkan berdoa dengan membaca apa sahaja doa yang ma’thur, yang dianjurkan daripada Rasulullah SAW.
Semoga Ramadan kita kali ini menjadi Ramadan yang terbaik untuk kita. Siapa tahu mungkin ini Ramadan yang terakhir buat kita. Wallahu ‘alam. Maka dengan kesempatan yang diberikan ini, biarlah kita berusaha bersungguh-sungguh melipatgandakan amalan kita dengan berdoa, berzikir, beriktikaf, membaca al-Quran dan seumpamanya. Semoga segala apa yang kita pelajari daripada madrasah Ramadan ini akan menjadikan kita seorang yang bertaqwa dan bersyukur dengan segala nikmat dan kekuatan yang diberikan oleh Allah SWT untuk terus beribadah tanpa jemu dan lalai. Mohonlah doa agar Allah ketemukan kita dengan Lailatul Qadr pada tahun ini. “Allahumar zuqnaa lailatal qadr hazihis sanah”. Maksudnya: “Ya Allah Kau rezekikanlah Kami agar dapat bertemu dengan Lailatul Qadr pada tahun ini”. Allahumma aamiin.”
Abdul Hadi Abd Aziz
Guru Bahasa Arab
Pusat Pengajian Bahasa
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)