Oleh Ts. Dr. Mohd Fahmy Abdullah
BATU PAHAT – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah bekerjasama dengan MRT Corp menubuhkan Metro System Academy (MSA) UTHM di Depoh KVMRT Sungai Buloh setelah memeterai Memorandum Persetujuan (MoA) pada 23 Disember 2021 lalu.
Kerjasama strategik ini menjadi satu tanggungjawab kepada UTHM dalam membangunkan sumber manusia yang berkualiti dan mampan selaras dengan hasrat universiti ke arah Global Technopreneur University 2030 (GTU 2030).
MSA akan mengguna pakai kemudahan MRT Corp yang bersesuaian seperti Galeri dan Station Prototypes, Pusat Latihan / KVMRT Training Centre dan Project Site Office (PSO) di Sungai Buloh bagi menyokong objektif penubuhan akademi berkenaan.
Fungsi utama MSA UTHM adalah membantu universiti dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran sama ada program teras dan bukan teras (Core & Non-Core) di peringkat pascasiswazah yang menfokuskan kepada bidang teknologi dan kejuruteraan pengangkutan rel.
Di samping itu, MSA UTHM akan menjadi salah satu platform bagi melaksanakan Program Work Based Learning (WBL) yang akan dilaksanakan setiap tahun selama dua semester (10 bulan).
Selain itu, program bukan teras juga akan dilaksanakan termasuklah kursus jangka pendek, kursus vokasional, program jarak jauh dan program-program lain yang ditawarkan oleh mana-mana fakulti berdasarkan keperluan semasa.
MSA UTHM juga berperanan menyediakan latihan dan kemahiran yang berkaitan dengan ekosistem industri pengangkutan termasuklah pembangunan kursus baru, kursus meningkatkan kemahiran (up skill courses), sijil profesional dan persidangan antarabangsa dengan kerjasama pemegang taruh (CIDB, MRT, APEL, MOT, ICOE-KPT, NRCOE, MBOT) mengikut keperluan semasa.
Pembangunan sumber manusia (profesional staff dan kebolehpasaran graduan) juga merupakan faktor penting dalam kewujudan MSA UTHM.
Pembangunan profesional dalam bidang pengangkutan rel dan bidang yang berkaitan melalui pendedahan kepada dunia industri pengangkutan rel yang sebenar akan dilaksanakan dan seterusnya menggalakkan mobiliti staf melalui sangkutan industri.
Kerjasama ini juga akan dapat membantu memberi banyak pilihan peluang pekerjaan kepada para graduan seterusnya meningkatkan kebolehpasaran graduan universiti.
Melalui kerjasama ini, pelajar akan mendapatkan manfaat langsung kerana program kerjasama dengan industri rel banyak ditujukan untuk pengembangan kemahiran sumber manusia dalam industri pengangkutan rel termasuklah menjalani latihan industri di tempat yang sesuai sekali gus dapat membangunkan modal insan yang holistik.
Kewujudan MSA UTHM adalah selaras dengan aspirasi UTHM sebagai sebuah institusi pendidikan berasaskan latihan (UTHM Edu-Train) yang dapat menghasilkan para graduan yang lebih berkualiti untuk memenuhi keperluan tenaga manusia yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran tinggi di dalam dan luar negara.
Malah penubuhan MSA UTHM ini tepat pada masanya apabila projek MRT Jajaran 3 diteruskan oleh pihak kerajaan dalam jangka masa yang terdekat.
Kerjasama strategik antara UTHM dan MRT Corp. ini mampu meningkatkan kredibiliti universiti di samping menyumbang kepada masyarakat yang lebih maju dan moden melalui perlaksanaan program yang telah dirancang dan ditetapkan.