Oleh Ahmad Hamdan Ariffin

BATU PAHAT – Pelajar Jabatan Kejuruteraan Aeronautik Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah melaksanakan program Service Learning Malaysia-University for Society (SULAM) pada 17 Januari 2022 lalu.

Penganjuran program ini berjaya menarik penyertaan pelajar dari beberapa sekolah seperti SMK Dr Burhanuddin, SMK SKUDAI, SMJK Convent Datuk Keramat, SAMBEST, SMK Ungku Aziz, SM Teknik Kuala Lumpur, SMK Bandar Tasik Puteri, SMS Sembrong dan SMK Muadzam Shah.

Program perkongsian ilmu yang diadakan secara dalam talian bertajuk ‘Kembara Perkongsian Ilmu’ dianjurkan melalui dua kursus iaitu kursus Ekonomi dan Pengurusan Penerbangan (BDU30202) dan Pengakap Kelana Siswa (UQR11301).

Objektif utama penganjurannya ialah untuk berkongsi kepada pelajar peringkat menengah berkaitan kapal terbang sekali gus meningkatkan minat mereka mendalami ilmu bidang kejuruteraan aeronautik.

Selain itu, semua peserta turut didedahkan dengan ilmu bepengakap yang melibatkan aktiviti berkaitan keselamatan dan ikatan.

Pengisian yang dilaksanakan seperti sesi pengenalan kepada sistem kawalan kapal terbang dan pengenalan kepada alat kawalan simulator kapal terbang.

Pelajar UTHM turut melaksanakan sistem latihan dalam kumpulan secara dalam talian dan mengumpulkan peserta dalam kumpulan kecil agar proses pengkongsian ilmu dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan. Sesi kuiz turut diadakan bagi menguji kefahaman pelajar sepanjang sesi diadakan.

Majoriti peserta sangat teruja mempelajari ilmu baharu dan konsep pembelajaran dalam talian.

Perkongsian yang ini telah memberi peluang kepada pelajar UTHM berkongsi ilmu mereka kepada masyarakat dan menjadikan UTHM lebih dekat dengan komuniti.