UTHM laksana misi bantuan Banjir Selangor

SELANGOR, 23 Dis 2021 – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menggerakkan seramai 180 orang sukarelawan pelajar bagi kerja-kerja pembersihan di tiga daerah yang terjejas di negeri Selangor iaitu Shah Alam, Klang dan juga Hulu Langat.

Terdahulu Prof. Madya Sr Ts. Dr. Hj. Lokman Hakim Hj. Ismail, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTHM telah menyantuni semua sukarelawan yang terlibat dan menyempurnakan upacara pelepasan misi bantuan banjir ke Selangor melibatkan empat bas dan lain-lain kenderaan. Turut hadir, ketua-ketua Pusat Tanggungjawab di bawah HEPA.

Misi pertama kali ini dipecahkan kepada tiga kumpulan iaitu kumpulan pertama menjalankan kerja-kerja pembersihan di Seksyen 13, 24 dan 25 Shah Alam Selangor melibatkan rumah pelajar UTHM, kawasan komuniti dan Kompleks Warga Emas. Kumpulan kedua bertumpu di Meru, Klang, Selangor melibatkan kerja-kerja pembersihan di rumah pelajar UTHM, kawasan komuniti dan juga sekolah, manakala kumpulan ketiga akan menjalankan kerja-kerja pembersihan selama dua hari iaitu pada 23 dan 24 Disember 2021 melibatkan kawasan Batu 14, Batu 20 hingga Batu 23 Hulu Langat Selangor. Kawasan Batu 14 akan melibatkan kerja-kerja pembersihan di rumah pelajar UTHM, manakala di Batu 20-23 melibatkan kawasan komuniti, balairaya dan Masjid. tiga kumpulan sukarelawan tersebut akan diselia oleh staf UTHM.

Pada 25 Disember ini, UTHM akan turut menghantar 35 orang sukarelawan di Sekolah Kebangsaan Seksyen 24, Shah Alam bagi menjalankan kerja-kerja pembersihan.

Turut berlangsung, majlis ringkas penyerahan sumbangan UTHM Prihatin kepada pihak pengurusan Politeknik Shah Alam Seksyen 13 yang disampaikan oleh Dato’ (Dr.) Haji Nooh Gadot Ahli Lembaga Pengarah (LPU) UTHM. Beliau turut membacakan doa dan memberikan kata-kata semangat kepada penghuni PPS Politeknik Shah Alam yang terlibat dengan musibah banjir tersebut. Turut hadir, Dato’ Dr. Mohd. Padzil Hashim dan Prof. Dr. Yusri Yusof, LPU UTHM; Zaharah Abd Samad, Pengerusi UTHM Prihatin dan kepimpinan Politeknik Shah Alam.

Terdahulu Prof. Datuk Ts. Dr. Wahid Razzaly, Naib Canselor UTHM hadir menyantuni masyarakat setempat yang terjejas dengan bencana banjir dan turut sama menyertai sukarelawan pelajar UTHM menjalankan kerja-kerja pembersihan.

Misi skuad sukarelawan kali ini juga turut mengedarkan bantuan keperluan asas harian kepada mangsa banjir yang terlibat terutama melibatkan keluarga pelajar UTHM. Bantuan yang diberikan adalah hasil sumbangan warga UTHM dan juga orang ramai. Antara barangan yang diberikan berupa air mineral, barangan asas makanan, kesihatan, pembersihan dan ibadah.

Datuk Wahid mewakili pihak universiti mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua penyumbang dalam membantu mangsa banjir yang terkesan dengan bencana alam tersebut.

“Semoga semua sukarelawan pelajar yang terlibat dalam misi bantuan banjir pada kali ini dapat menjaga diri dan mematuhi SOP berkaitan pencegahan Covid-19 serta dapat melaksanakan kerja-kerja kesukarelawan dengan sebaiknya tanpa mengabaikan sensitiviti mangsa banjir,” katanya.

 

 

 

Categories
Sosial , Kebajikan dan Masyarakat
Subscribe