BATU PAHAT, 21 Disember 2021 – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) sentiasa prihatin dengan perkembangan situasi banjir di negeri Selangor melibatkan kawasan Shah Alam, Hulu Langat dan Klang yang terjejas teruk akibat banjir yang melanda pada 19 Disember 2021.

Atas dasar keprihatinan yang tinggi, UTHM akan menggerakkan sukarelawan pelajar bagi memberikan bantuan kepada penduduk yang terjejas.

Menurut penyelaras misi bantuan, Ts. Dr. Khalid Isa sehingga kini lebih 300 pelajar telah mendaftar sebagai sukarelawan untuk digerakkan dalam misi bantuan tersebut.

Tambah beliau sebagai langkah awal, UTHM telah menghantar tiga skuad peninjau yang diketuai oleh  Lt. Kol .Ts. Mohd Safiee Idris pada 20 Disember lalu bagi mengenalpasti lokasi yang terjejas di tiga daerah tersebut sebelum menggerakkan sukarelawan UTHM ke lokasi berkaitan.

“Kumpulan pertama sukarelawan UTHM dijangka akan memulakan misi bantuan pada 23 Disember ini dengan melakukan kerja-kerja pembersihan di lokasi-lokasi yang telah dikenal pasti,” katanya.

Sementara itu, UTHM turut melancarkan ‘Tabung Misi Bantuan Mangsa Banjir’ bagi mengumpul dana kewangan dan sumbangan keperluan asas, air mineral dan makanan ringan daripada warga universiti dan orang ramai bagi membantu meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa banjir yang terlibat.

Misi bantuan UTHM akan berfokus kepada penghantaran sukarelawan bagi kerja-kerja pembersihan dan juga memberikan bantuan keperluan asas harian kepada mangsa banjir yang terlibat terutama melibatkan keluarga pelajar UTHM yang terjejas.

 

*Skuad peninjau berbincang dengan wakil masyarakat setempat bagi mengenalpasti lokasi yang terjejas di tiga daerah terbabit.