PAGOH – Panel Teknologi Makanan, Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah berjaya menganjurkan Program Step Up, Bakers! yang berkonsepkan Service Learning Malaysia – University for Society (e-SULAM) yang dijalankan secara dalam talian hasil inisiatif Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Program yang dijalankan selama lima minggu berturut-turut bermula 16 November hingga 12 Disember ini menggabungkan objektif pembelajaran kursus di kelas dengan khidmat komuniti.
Menurut penyelaras kursus, Ts. Dr. Faridah Kormin program ini diterajui oleh pelajar tahun tiga, Sarjana Muda Sains (Teknologi Makanan) dengan kepujian (3BWD) yang mengikuti kursus Teknologi Produk Bakeri (BWD30403).
“Mereka perlu menjalankan khidmat komuniti melibatkan 12 pengusaha bakeri yang mengusahakan dari rumah,” katanya.
Program ini dilaksanakan dengan pengisian beberapa aktiviti bermanfaat menerusi platform Zoom dan Google Meet seperti Sijil Pengendalian Makanan, Cake Decoration: Double Barrel Cake, Costing, Home-Based Food Regulation and Guidelines dan Digital Marketing.
Pengajar Fakulti Pendidikan Teknikal Vokasional, UTHM, Nur Diyana Md Yazid; pengasas CTZEC COACH, Siti Zaleha Ismail; pengasas DrKay Digital, Dr. Kamisah dan juga Dr. Faridah turut terlibat sebagai penceramah dalam menjayakan setiap aktiviti tersebut.
Selain pengusaha bakeri terpilih, aktiviti-aktiviti yang dijalankan turut menarik penyertaan luar sekali gus menjadikan sambutannya sangat memberangsangkan.
Tambah Dr. Faridah, penganjuran program ini dirangka agar pelajar mampu membimbing komuniti terpilih dan sama-sama mendapat manfaat melalui aktiviti-aktiviti yang dijalankan.
“Setiap kumpulan pelajar diberi tugasan untuk memastikan satu pengusaha bakeri di bawah bimbingan mereka mengikuti, memahami dan mengaplikasikan setiap intipiti aktiviti yang dikongsi, serta menjalin hubungan dua hala yang baik dan saling memberi dan menerima manfaat sesama mereka.
“Komuniti yang dibimbing memberi maklum balas positif untuk setiap aktiviti yang dianjurkan,” jelas beliau.
Sementara itu, Fatin Hanani yang merupakan salah seorang pengusaha bakeri yang mengusahakan penjualan kek dari rumah berkata bahawa program Cake Decoration: Double Barrel Cake telah meningkatkan tahap kemahirannya dalam menghias kek.
Manakala Eyza Myza, juga salah seorang komuniti yang terlibat turut bersetuju pengisian program yang diadakan berupaya membantu beliau dalam memperoleh ilmu baharu dan mampu meningkatkan hasil jualan melalui pengiraan kos dan margin keuntungan yang betul.
Majoriti peserta sangat mengharapkan agar program seumpama ini dapat dianjurkan lagi pada masa akan datang.