Pelajar Seni Bina UTHM hasilkan lakaran menarik, promosi Labis sebagai kawasan ekopelancongan

LABIS, 21 Disember 2022 – Pelajar tahun satu bersama Pensyarah Jabatan Seni Bina, Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (FKAAB), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menyertai program ‘Sketch Walk Labis’ bagi menghasilkan lakaran secara langsung di Bandar lama Labis.

Program dengan kerjasama Johorskechers ini diintegrasikan ke dalam sesi pembelajaran subjek ‘Prinsip Asas Seni Bina’ semester satu tahun 2021-2022, yang mana subjek ini memberi pendedahan kepada pelajar berkaitan teknik lakaran secara langsung di samping sebagai platform untuk menonjolkan kemampuan mereka.

Program Sketch Walk Labis ini merupakan salah satu usaha dan langkah pertama dalam mempromosikan bandar Labis sebagai sebuah kawasan ekopelancongan.

Bandar lama Labis merupakan sebuah bandar yang berpotensi untuk menjadi sebuah kawasan ekopelancongan kerana terdapat beberapa tarikan seperti kolam air panas, hutan simpan, air terjun, dan juga flora dan fauna.

Labis juga merupakan bandar dan pecan yang besar, berpotensi dijadikan sebagai tempat persinggahan dan tarikan kepada para peminat alam semula jadi.

Menurut pensyarahnya, Suhailah M Mohd Siraj cetusan idea Sketch Walk Labis ini merupakan edisi pertama Lakaran Bandar Labis diadakan pada tahun 2021 selepas pendemik dan dibenarkan untuk berkumpul bagi melakukan aktiviti secara berkumpulan di samping mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

“Ia adalah untuk mendedahkan para pelajar kepada lakaran secara langsung dan menggalakkan lakaran di lokasi di samping mempromosikan bandar Labis sebagai sebuah kawasan ekopelancongan.

“Program Sketch Walk Labis ini sangat padat dengan sketch walk, bengkel dan perkongsian teknik melakar oleh Johorskechers serta merangkumi hampir segala-galanya termasuk lakaran di lokasi, sesi pembelajaran, sesi diskusi dan interaksi,” katanya.

Kumpulan yang terdiri daripada 37 peserta itu turut dibawa berjalan kaki seperti pelancong dengan melalui jalan-jalan menarik di Bandar Labis, memburu mercu tanda, gerai, kedai kopi dan bangunan lama untuk dilakar.

Sebaik sahaja subjek ditemui, buku lakaran dan pad seni dengan pantas dikeluarkan dari beg untuk mula melakar dan ada antara mereka menangkap pemandangan di sekeliling.

Categories
Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar
Subscribe