Oleh Nurulisyazila Othaman
BATU PAHAT – Semester pengajian yang berlangsung melalui sebuah skrin bukanlah satu halangan untuk Pusat Pengajian Bahasa, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menganjurkan Karnival Bahasa Antarabangsa 2021 pada 26 hingga 30 Disember 2021 lalu secara dalam talian.
Jabatan Bahasa Antarabangsa mengambil inisiatif menganjurkan Karnival Bahasa Antarabangsa ini bagi membuka ruang kepada pelajar untuk berfikir secara kreatif dalam kumpulan untuk menghasilkan video dan pembentangan kreatif berkenaan bahasa yang dipelajari.
Karnival yang disertai oleh lapan bahasa iaitu bahasa Inggeris, Sepanyol, Arab, Mandarin, Perancis, Jepun, Melayu, dan Jerman ini bukan sahaja memberi ruang kepada para pelajar untuk bertukar-tukar ilmu pengetahuan bahasa, malah turut memperkenalkan budaya bahasa yang telah dipelajari.
Karnival yang dianjurkan melalui aplikasi zoom dan youtube ini berjaya memupuk semangat dan keyakinan pelajar mengaplikasi kemahiran dan ilmu yang telah dipelajari dalam kelas.
Karnival tersebut juga berjaya mencapai objektif penganjuran apabila para pelajar dilihat bersungguh-sungguh menyampaikan perkongsian ilmiah berkenaan bahasa kedua dan ketiga yang mereka pelajari.
Haikal Zannoun Mohammad Tasnim, pelajar kelas Bahasa Arab berkata penganjuran program seperti ini banyak memberi pendedahan baharu dan info yang menarik selain dapat memperkasakan lagi pengetahuan masyarakat dengan bahan ilmiah berkenaan pelbagai bahasa.
Mohamad Afiq Irfan Fauzi selaku pembentang dari kursus Bahasa Mandarin pula berkata dia pada mulanya berasa agak gemuruh kerana ini merupakan pengalaman pertamanya menyertai program sebegitu.
“Walau bagaimanapun selepas sesi perkongsian tersebut, perasaan gemuruh terus hilang dan saya mula merasa gembira kerana program ini dilihat dapat meningkatkan keyakinan diri saya dan peserta lain untuk berkomunikasi dan berkongsi pengetahuan”.
Sementara itu, Ketua Jabatan Bahasa Antarabangsa , Nurul Sabrina Zan turut pula berkata selain perkongsian ilmu bahasa yang dipelajari pelajar, karnival ini mampu membentuk para pelajar berani dan bijak meneroka pelbagai aplikasi terkini dalam talian bagi menjadikan perkongsian ilmu lebih menarik dan kreatif.
“Penganjuran program seperti ini diharapkan dapat diteruskan pada masa akan datang kerana dilihat dapat memberikan pelbagai manfaat kepada pelajar dan juga orang awam yang mengikuti karnival ini secara dalam talian,” katanya.