BATU PAHAT, 8 November 2021 – Bagi membantu komuniti setempat Pulau Perhentian yang mempunyai masalah pembuangan sampah organik, Majlis Kepimpinan Pelajar Kolej Kediaman Tun Dr. Ismail, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah melaksanakan satu program khidmat komuniti Happiness for the living.
Program dengan kerjasama Khind Sdn. Bhd. melalui geran My Starfish Foundation ini melibatkan penyertaan pelajar UTHM bersama komuniti di Kampung Nelayan, Pulau Perhentian Kecil, Terengganu.
Program di bawah penyelarasan Pengetua Kolej Kediaman Kolej Kediaman Tun Dr Ismail (KKTDI) Dr. Adi Syahid dan Felo KKTDI, Ts. Dr. Wan Nur Azrina Wan Muhammad serta Pengarah Program, Aidil Akmal Zainukamarol’ari ini bertujuan mengurangkan timbunan sampah organik, yang mana sampah perlu dibawa ke daratan hanya seminggu sekali sahaja.
Prihatin dengan masalah ini, program ini mengetengahkan penggunaan Black Soldier Flies (BSF) sebagai agen penguraian sampah organik.
Daripada penguraian sampah ini, baja organik dapat dihasilkan.
Selain bertujuan mengurangkan masalah timbunan sampah, program ini secara tidak langsung dapat membantu penduduk dalam menjana pendapatan melalui penghasilan baja organik ini.
Seramai 36 orang pelajar KKTDI termasuk pembantu felo telah terlibat secara langsung dalam program ini bersama perunding berkenaan Black Soldier Flies (BSF), Profesor Madya Ir. Dr. Noor Yasmin Zainun yang juga merupakan Pensyarah Kanan di Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (FKAAB).
Menurut Dr. Adi, fasa pertama program ini melibatkan pemantauan dan pemilihan tapak program manakala fasa kedua pula melibatkan pembinaan Rumah Lalat di kawasan yang dipilih dan sesi pemindahan ilmu (transfer knowledge) oleh Dr. Yasmin kepada penduduk kampong.
“Sesi pemindahan ilmu ini adalah penting bagi memastikan program ini dapat dijalankan oleh komuniti setempat secara berterusan.
Sementara itu, sesi penyerahan kunci Perumah Lalat juga turut diadakan kepada wakil komuniti Kampung Nelayan, Siti Habibah Yussoff.
Penganjuran program ini turut mendapat sumbangan dan bantuan daripada Pejabat Taman Laut Daerah dan Pengkalan Besut serta Majlis Perbandaran Besut dari segi pengangkutan dan penempatan.
Selain itu, program ini juga mendapat sokongan penuh daripada Pusat Pembangunan Pelajar (PBP) dan Pejabat Hal Ehwal Pelajar UTHM.
Tambah Dr. Adi, komuniti Kampung Nelayan memberi kerjasama dan sambutan yang sangat menggalakkan.
“Mereka amat berbesar hati menerima ilmu dan idea baharu daripada program ini yang mana dapat membantu sedikit sebanyak urusan dalam kehidupan mereka.
“Di samping itu, pelajar-pelajar UTHM yang terlibat juga dapat menimba pengalaman baharu dalam penyelesaian masalah dalam komuniti serta dapat mengasah kemahiran insaniah dalam diri masing-masing.
“Program seperti ini diharap dapat dijalankan dengan lebih banyak pada masa hadapan bagi memenuhi fungsi sesebuah universiti untuk komuniti dan masyarakat,” katanya.