BATU PAHAT, 16 November 2021 – Pelajar tahun dua dan Pensyarah Jabatan Senibina, Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (FKAAB) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) sekali lagi membuktikan kemampuan mereka dalam mereka bentuk bangunan masjid dan pusat kebudayaan bagi masyarakat Muslim Indonesia di Eindhoven (MUSIHOVEN), Belanda.
Pensyarah merangkap ketua projek, Profesor Madya Dr. Nangkula Utaberta bersama Khairul Asyraf Mohd Rodzi telah menyelia projek yang diintegrasikan dalam sesi kuliah subjek Hubungan/Menyantuni Komuniti (Community Engagement/ BFR 11702) di semester pendek 2020/2021.
Walaupun dalam situasi pandemik, projek ini mampu membuktikan kemampuan pelajar dan pensyarahnya mereka bentuk bangunan di persekitaran Eropah dalam tempoh dua bulan sahaja.
Menurut Dr. Nangkula, seluruh proses perancangan, analisis tapak, kajian tipologi, persembahan kemajuan reka bentuk sehingga persembahan akhir terpaksa dilakukan secara maya.
“Namun hal ini tidak mengurangi semangat serta kerja keras pelajar dalam menghasilkan reka bentuk yang terbaik untuk masyarakat Muslim di Eindhoven,” katanya.
Proses reka bentuk juga mendapat kuliah input dan nasihat dari Ts. Dr. Izudinshah Abd Wahab, Ketua Jabatan Seni Bina, FKAAB, UTHM dan Ar. Akhmad Fatah Yasin dari Imajiner Arsitek di Malang, Indonesia yang memiliki kepakaran dalam reka bentuk bangunan Islamik di Indonesia.
Tambah beliau projek tersebut memberi pendedahan profesional dan industri kepada pelajar Senibina UTHM dalam mereka bentuk bangunan komuniti di negara lain.
“Para pelajar diminta melakukan penyelidikan yang mendalam tentang budaya dan keadaan masyarakat di Eindhoven, Belanda dan menghasilkan satu penulisan ilmiah tentang isu dan permasalahan yang terjadi di sana.
“Dengan aktiviti ini diharapkan pelajar Senibina UTHM akan mampu bersaing dengan graduan dan pelajar dari negara lain dalam menghasilkan reka bentuk terbaik di pentas antarabangsa,” katanya.
Bagi mendapatkan bahan-bahan penyelidikan dan butiran kehidupan sosial masyarakat di tapak bangunan, pihak MUSIHOVEN telah menghantar gambar, dokumen dan video yang cukup lengkap secara dalam talian.
Beberapa individu seperti Darian Verdy Retianza dan Taufik Arfan yang merupakan pelajar Doktor Falsafah di Eindhoven dan juga Haji Rosyid dan Umar, penduduk Indonesia yang telah tinggal lama di Eindhoven, Belanda juga banyak memberikan bantuan dan nasihat sepanjang proses mereka bentuk dan menghasilkan laporan kemajuan projek.
“Berkat kerja keras dan komitmen pelajar, pensyarah dan penasihat industri yang terlibat dalam pelaksanaan projek ini, projek ini akhirnya dapat menghasilkan lapan reka bentuk yang cukup terperinci dan dapat dijadikan landasan bagi pembinaan masjid dan Pusat kebudayaan MUSIHOVEN pada masa hadapan,” katanya.