Oleh Jasnizam Sami
Kompleks Renang Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang sebelum ini ditutup bagi menjalani proses pembaikan telah dibuka semula dan sedia menerima pengunjung.
Kolam Renang UTHM yang boleh memuatkan 300 orang dalam satu-satu masa ini mempunyai fasiliti yang lengkap sekali gus berupaya menjadi penganjur kepada kejohanan sukan renang.
Majlis perasmian pembukaan semula Kompleks Renang UTHM telah disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UTHM, Dato’ Sri Ibrahim Ahmad.
Dato’ Sri Ibrahim dalam ucapannya menzahirkan rasa bersyukur dan gembira dengan pembukaan semula kompleks renang tersebut.
“Saya sangat menggalakkan semua warga universiti mengunakan kemudahan ini dengan sebaiknya untuk beriadah.
“Saya percaya pembukaan kompleks renang ini sentiasa dinanti-nantikan kerana ramai yang rindukan aktiviti berenang di kompleks ini.
“Diharapkan dengan beroperasinya semula kompleks renang ini, warga UTHM khususnya dapat mengamalkan gaya hidup sihat dan cergas dan aktiviti sukan akan menjadi lebih rancak,” katanya.
Turut hadir ke majlis tersebut, Naib Canselor UTHM, Profesor Datuk Ts. Dr. Wahid Razzaly, Timbalan-timbalan Naib Canselor UTHM dan Pegawai-pegawai Kanan universiti.
UTHM berharap dengan beroperasinya kompleks renang ini dapat memeriahkan lagi aktiviti riadah di kolam dan lebih ramai bakat-bakat baharu dapat dicungkil dalam acara renang.
*Pengerusi Lembaga Pengarah UTHM, Dato’ Sri Ibrahim Ahmad menyempurnakan upacara perasmian Kompleks Renang UTHM