Mid-Autumn Festival atau Perayaan Kuih Bulan disambut pada hari ke-15 bulan ke-8 pada kalendar Cina, iaitu pada akhir bulan Ogos hingga akhir bulan September. Pada tahun 2021, Perayaan Kuih Bulan jatuh pada 21 September. Dalam bahasa Mandarin, ? ? ? (zh?ngqi?jié) bermaksud “Perayaan Pertengahan Musim Luruh”, selalunya hampir dengan ekuinoks musim luruh.

Perayaan Kuih Bulan merupakan salah satu perayaan terpenting bagi masyarakat Cina selain Tahun Baru Cina. Kedua-dua perayaan ini membawa makna “perjumpaan semula” atau “reunion” kepada masyarakat Cina.  Hari ke-15 bulan ke-8 pada kalendar Cina, bulan penuh akan muncul di langit, melambangkan keluarga yang lengkap dan bersatu. Pada malam perayaan, ahli-ahli keluarga akan berkumpul bersama-sama di bawah bulan mengambang, sambil menikmati kuih bulan dengan diterangi tanglung-tanglung dan lilin-lilin, tidak kurang juga perarakan tanglung sambil menceritakan mitos perayaan ini bersama anak-anak.

Perayaan Kuih Bulan mempunyai pelbagai lagenda dan cerita, di antara yang paling terkenal adalah kisah Houyi dan Chang’e, Wugang dan juga Arnab Jed. Terdapat juga sebuah cerita yang mengatakan bahawa sejenis kuih yang berupa kuih bulan telah digunakan sebagai medium penyampaian mesej dalam usaha penggulingan pemerintahan Mongol pada zaman dinasti Yuan.

Pada asalnya, perayaan ini berkait rapat dengan pertengahan musim luruh, upacara penyembahan bulan dijalankan oleh maharaja China sejak Dinasti Zhou. Upacara ini pula berkait rapat dengan Pesta Menuai. Dalam pertengahan musim luruh, maharaja pada Dinasti Zhou akan menjalankan upacara penyembahan bulan, berdoa terhadap bulan agar rakyat diberkati dan kedamaian negara dijamin. Amalan ini diteruskan sehingga Dinasti Qing. Kuil bulan yang terletak di bahagian barat Beijing, China, yang digunakan oleh maharaja Dinasti Ming dan Dinasti Qing kini masih boleh dikunjungi oleh para pelancong.

Pertengahan musim luruh ini mula dijadikan hari perayaan sejak awal pemerintahan Dinasti Tang. Perayaan ini disambut oleh istana dan golongan atasan. Rakyat mula menyambut perayaan ini pada pertengahan Dinasti Tang. Sempena bulan penuh bulan ke-8, maharaja dan pegawai-pegawai, atau semua anggota keluarga akan berkumpul bersama-sama untuk menikmati pemandangan bulan penuh yang indah.

Perayaan ini terus diwarisi sehingga Dinasti Song. Pemerintah Dinasti Song menetapkan hari ke-15 bulan ke-8 sebagai cuti Perayaan Pertengahan Musim Luruh dan disambut secara besar-besaran dari siang hingga malam oleh seluruh rakyat negara. Pelbagai aktiviti perayaan dijalankan bagi memeriahkan perayaan ini. Setiap kedai dan restoran akan dihias dengan hiasan yang berwarna-warni semasa meraikan perayaan ini. Sejak zaman Dinasti Song juga, perayaan ini telah dikenali sebagai “reunion” yang diwarisi sehingga sekarang.

Perayaan ini juga berkait rapat dengan Peperiksaan Awam Diraja. Ianya dijalankan pada bulan Ogos semasa Dinasti Song. Oleh itu, pegawai yang lulus peperiksaan awam juga turut diraikan sempena hari perayaan ini.

Kuih bulan merupakan satu hidangan istimewa pada perayaan ini sejak Dinasti Ming. Pada zaman ini juga, kuih bulan mula dihantar sebagai buah tangan kepada keluarga, saudara-mara dan sahabat karib untuk mengeratkan hubungan dan juga menunjukkan penghargaan. Kuih bulan yang berbentuk bulat seperti bulan membawa maksud “reunion” telah dijadikan makanan tradisional perayaan.

Kuih Bulan diperbuat daripada adunan manis yang berinti kacang merah atau adunan biji teratai, adakala ia juga turut ditambahkan dengan kuning telur masin. Selain kuih bulan tradisional, terdapat juga kuih bulan Shanghai, kuih bulan Snowskin, kuih bulan Teochew dan sebagainya.

Kini, Kuih Bulan telah dimodenkan dengan pelbagai warna dan adunan seperti durian, pandan, keladi, tiramisu, green tea dan macam-macam lagi. Yang lebih menarik kini ada juga kuih bulan yang dibuat dalam bentuk ais krim dan agar-agar dengan pelbagai warna dan bentuk tetapi masih mengekalkan konsep bulat seperti bulan.

Di Kluang, Johor, terdapat sejenis kuih bulan Shanghai yang terkenal, dibuat dalam bentuk tikus, yang asalnya berbentuk bulat.

Kini, kuih bulan telah menjadi kegemaran ramai di seluruh Malaysia, tidak terhad kepada masyarakat Cina yang meraikan Perayaan Kuih Bulan ini. Sempena perayaan ini, sambil kita menikmati kuih bulan, penulis ingin berkongsi ayat daripada puisi terkenal Dinasti Song oleh Sudongpo : “We wish each other a long life so as to share the beauty of this graceful moonlight, even though miles apart.” bermaksud walaupun terpisah jarak, semoga kita semua diberkati umur panjang dan dapat berkongsi keindahan bulan bersama-sama.

 

*Handmade Snowskin Mooncake

 

 

Yeoh Li Cheng

Pusat Pengajian Bahasa

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)