Kehidupan tanpa zuriat, adakah kita antara orang-orang yang bahagia? Zuriat adalah kurniaan yang Maha Esa kepada hamba-Nya. Dalam setiap perkahwinan sudah pasti kita mengharapkan kehadiran zuriat yang akan menjadi penyejuk hati dan penenang perasaan. Namun dalam tidak sedar ada antara kita yang diuji dengan lambat atau tidak ada rezeki untuk menimang cahaya mata. Penulis sendiri pun menunggu selama sembilan tahun untuk mendapat zuriat pertama.Sudah pasti dalam tempoh tersebut pelbagai cabaran datang menguji.

Tidak mudah untuk menghadapi perjalanan sebagai ‘geng’ trying to conceive (TTC). Namun, sebelum kita memulakan langkah usaha kita paling utama pujilah Allah sebanyak yang mungkin. Kebahagiaan akan hadir dalam pelbagai bentuk dengan izin-Nya. Selalu redha dan usaha mengikut kemampuan diri kita dan pasangan. Terlalu berusaha hingga membebankan diri sendiri juga punca diri kita semakin lemah menghadapi tekanan.

 

Berhenti berbanding rezeki

Rezeki Allah terbentang luas. Siapalah kita selemah-lemah manusia untuk membanding-bandingkan rezeki yang Allah kurniakan. Percayalah sekiranya masih ada perasaan iri hati dan perasaan sedih dalam hati kerana diuji dengan lambat dikurniakan zuriat, kita akan lebih tertekan. Kuatkan mental dan emosi luaran dan dalaman dengan sentiasa puji-memuji Allah. Sesungguhnya rezeki Allah itu sangat luas. Mungkin kita belum dikurniakan zuriat tetapi kita mempunyai keluarga mertua yang sangat baik. Begitu juga nikmat-nikmat lain yang Allah telah sediakan untuk kita.

Firman Allah SWT yang bermaksud “kehidupan dunia (dan kemewahannya) diperhiaskan (dan dijadikan amat indah) pada (pandangan) orang-orang kafir, sehingga mereka (berlagak sombong dan) memandang rendah kepada orang-orang yang beriman. Padahal orang-orang yang bertaqwa (dengan imannya) lebih tinggi (martabatnya) daripada mereka (yang kafir itu) pada hari kiamat kelak. Sesungguhnya Allah memberi rezeki pada sesiapa yang dikehendakiNya dengan tidak terkira (menurut undang-undang peraturanNya” Surah al Baqarah ayat 212.

Daripada kita sentiasa iri hati terhadap rezeki insan lain, lebih baik kita penuhi kehidupan kita sebanyak mungkin dengan amalan ibadah yang pelbagai cara. Dengan cara ini, kita lebih merasakan keindahan hidup sendiri sehingga tiada masa untuk bersedih dengan sesuatu yang belum pasti.

 

Pandanglah nikmat lain yang Allah kurniakan dengan mata hati

Sentiasalah mengukir senyuman dan teruskan melangkah dengan berlapang dada. Jangan kita sentiasa menangisi ujian yang sedang melanda kerana ujian itu tanda Allah sayang pada kita. Pandanglah nikmat lain dalam perkahwinan dengan mata hati. Hayati masa berdua dengan aktiviti yang membahagiakan.  Kita hanya diuji dengan satu ujian iaitu lambat dikurniakan zuriat, tapi dalam masa sama Allah bentangkan kita dengan 1001 nikmat yang terindah. Jangan sebab kita sibuk menangisi ujian tersebut kita lupa mensyukuri nikmat lain yang Allah kurniakan kepada kita.

 

Rumah tangga kita syurga kita

Tiada siapa yang dapat mencorakkan kebahagian kita bersama pasangan kecuali kita sendiri. Jadikan pasangan kita kawan baik kita tika kita sedang menghadapi ujian belum lagi dikurniakan zuriat. Bersama- sama menempuh ujian yang terindah. Penuhi dengan ikatan yang manis demi kebahagiaan yang telah Allah berikan kepada kita sebagai pasangan suami isteri. Sentiasa saling melengkapi walaupun kita merasakan tanpa zuriat alam rumah tangga kita tidak lengkap, akan tetapi sebenarnya kesempurnaan tersebut kita dan pasangan sendiri yang mencorakkannya. Sentiasalah saling memberi semangat dan menggembirakan pasangan. Mungkin bila mana kita dikurniakan zuriat suatu hari nanti, kita tidak lagi menikmati keakraban yang terjalin seperti sebelum adanya zuriat. Mungkin juga masa tersebut keindahannya ada tetapi tidak sama seperti sebelumnya.

 

Ajak pasangan bertemu doktor

Setiap masalah pasti ada jalan. Berjumpalah doktor untuk kenal pasti masalah dan mendapat rundingan yang betul dari pakar. Elakkan daripada terus bertanya pendapat sahabat TTC lain di media sosial sebelum berjumpa doktor. Semua yang melibatkan perubatan mesti merujuk kepada yang pakar. Jangan mudah percaya pada penawaran untuk konsultasi produk media sosial. Carilah doktor yang memahami masalah yang kita sedang hadapi bukan sahaja dari segi perubatan malah bagi mendalami emosi yang kita sedang hadapi.

 

Sertai kumpulan sokongan di media sosial

Ketika kita sedang diuji dengan ujian ini, adakalanya kita amat memerlukan sokongan moral daripada orang sekeliling. Andainya kita tidak dapat sokongan moral daripada keluarga dan rakan terdekat, sokongan tersebut akan hadir daripada insan-insan yang sedang di dalam kasut yang sama. Sebagai contoh, dalam aplikasi Facebook terdapat banyak kumpulan sokongan yang akan memberi sokongan moral sesama sendiri. Antaranya kumpulan seperti TTC Malaysia (Since 2012) yang ditubuhkan khas untuk memberi ilmu, sokongan dan semangat, panduan, nasihat untuk pasangan yang sedang berusaha mendapatkan zuriat.

Menariknya apabila menyertai kumpulan seperti itu, kita akan menemui lebih banyak lagi kumpulan yang wujud untuk memberi dan berkongsi ilmu pengetahuan tentang usaha mendapatkan zuriat. Sebagai contoh kumpulan Body Basal Temperature (BBT) ada menyediakan ilmu mengesan waktu subur dengan kaedah suhu badan, selain usaha kita mendapatkan rawatan dan rundingan di hospital atau pakar Obstetrics & Gynaecology (O&G).

 

Kepada yang sedang berusaha untuk mendapatkan zuriat, teruslah berusaha walaupun banyak kali kita jatuh janganlah cepat mengalah. Ubah fikiran kita ke arah yang lebih positif, terus melangkah jauh dari kata-kata negatif sekeliling kita. Pasangkan niat yang kita pasti boleh. Namun jika masih belum ada rezeki, jangan sesekali kita meletakkan diri kita sebagai seseorang yang mempunyai masalah, teruskan kehidupan dengan nikmat lain yang tuhan kurniakan. Pastinya ada bahagia yang menanti.

 

Nurulisyazila Othaman

Pusat Pengajian Bahasa

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)