BATU PAHAT – Biro Kebudayaan Mahasiswa India (BKMI), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menyertai virtual camp“Thozhi-Young Women Empowerment 2021” anjuran Persatuan Mahasiswa Hindu, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang berlangsung pada 1 hingga 5 Mac 2021 lalu bagi memberi memberi nilai tambah kepada kemenjadian mahasiswa.
Bagi menjayakan program yang dianjurkan sempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa ini, Persatuan Mahasiswa Hindu, UTM telah berkolaborasi dengan BKMI, UTHM; Persatuan Kebudayaan India, Universiti Sains Malaysia(USM); Perwakilan Mahasiswa India, Universiti Kebangsaan Malaysia(UKM) dan Kelab Kebudayaan India, Universiti Teknikal Malaysia Melaka(UTeM).
Program yang diadakan secara dalam talian ini melibatkan penyertaan 100 peserta dan UTHM diwakili oleh 18 pelajar perempuan dari BKMI,UTHM.
Menurut penasihat program, Profesor Madya Ir. Dr. Malarvili Balakrishnan, program ini dianjurkan bertujuan untuk mendorong mahasiswi India untuk terus aktif dalam program-program yang dianjurkan semasa musim pandemik ini, mengimbas kembali pengalaman yang telah dilalui oleh para pemimpin wanita di seluruh dunia, memupuk semangat keberanian untuk berdiri sendiri, menyampaikan info semasa mengenai perkembangan wanita dan menekankan semangat keperibadian dalam kalangan mahasiswi. Melalui program ini, peserta telah diberi peluang untuk menggambarkan diri mereka dengan lebih yakin serta meningkatkan kemahiran diri bagi mendepani cabaran yang mendatang.
Program ini diisi dengan ceramah yang disampaikan oleh wanita yang berjaya dalam kerjaya iaitu Profesor Dr. Kasturi Devi dari NASA, Mathivani Murugeesan yang merupakan atlet Karate yang telah memenangi SEA GAMES pada 2019, Brigadier-General Suriakala Suriabagavan yang merupakan Jeneral utama, wanita pertama bukan Islam, Tulashi Chandra yang merupakan setiausaha Pertubuhan Intelektual Tamil Malaysia/Assist Malaysia, DCP Dato’ Sasikala Devi Subramaniam yang merupakan Timbalan Pengarah Penyiasatan CCID Bukit Aman PDRM, Penolong Pengarah Bahagian Media Siber Jabatan Penerangan Malaysia, Yokananthini Murugeesan, Pengarah Urusan BTK Consultancy, Dr. Banu Tanjakaundar Pengasas Limelight Artistry Resources dan Yasotha Arumugam.
Pelbagai aktiviti menarik turut diadakan bagi mewujudkan komunikasi berkesan dalam kalangan peserta antaranya pengucapan awam dan sesi perkongsian.
Menurut Penasihat BKMI, UTHM, Ts. Dr. Tamil Selvan Subramaniam, Thozhi 2021 merupakan salah satu program yang bermanfaat kerana mampu memotivasi dan mendorong kesemua peserta wanita yang terlibat khususnya dari UTHM untuk membawa perubahan besar dalam pembangunan masyarakat dan negara.