Kekal cergas pada era pandemik

Rutin harian yang sama di rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) biasanya akan mendatangkan rasa bosan dalam diri masing-masing. Pelaksanaan PKP yang diumumkan oleh kerajaan bermula pada 18...
Ilustrasi kekal cergas

Rutin harian yang sama di rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) biasanya akan mendatangkan rasa bosan dalam diri masing-masing. Pelaksanaan PKP yang diumumkan oleh kerajaan bermula pada 18 Mac 2020 lalu telah memberi impak yang besar dalam kehidupan kita semua. Perubahan gaya hidup biasa ke norma baharu membuatkan sesetengah masyarakat semakin mengabaikan gaya hidup sihat kerana banyak masa dihabiskan di rumah sahaja. Masa bekerja yang tidak menentu dan pada masa yang sama perlu menguruskan kerja-kerja rumah juga antara faktor yang boleh memberi tekanan kepada seseorang.

Bagi memastikan tahap kesihatan dan kecergasan individu berada pada tahap yang terbaik, kita seharusnya sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat di samping memastikan tubuh badan kita kuat untuk melawan virus Covid-19. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebelum ini telah mencadangkan kanak-kanak yang berumur 5 hingga 17 tahun perlu melakukan aktiviti fizikal sekurang-kurangnya 60 minit sehari manakala 30 minit untuk golongan dewasa. Oleh itu, amat penting bagi kita untuk terus kekal aktif dan cergas pada era pandemik ini dengan mengamalkan gaya hidup sihat.

Melakukan Senaman Kalistenik

Senaman kalistenik merupakan senaman yang menggabungkan elemen kardiovaskular dan berat badan individu sebagai bebanan atau rintangan. Kebanyakan senaman kalistenik boleh dilakukan tanpa menggunakan peralatan dan tidak melibatkan ruang yang luas. Ianya boleh dilakukan sama ada di dalam atau di luar rumah mengikut keselesaan seseorang. Pendek kata ianya boleh dilakukan pada bila-bila masa, di mana jua kita berada, mengikut tahap keupayaan masing-masing. Antara contoh senaman kalistenik yang boleh dilakukan ialah..

 

 

 Daftar aktiviti kecergasan atau senaman secara dalam talian

Oleh kerana pusat-pusat kecergasan atau gimnasium ditutup, banyak aktiviti senaman telah dijalankan secara dalam talian. Selain mempunyai kumpulan sokongan, kita dapat melakukan aktiviti senaman dengan selesa di kediaman masing-masing tanpa perlu merasa takut. Kita akan diberikan panduan dan bimbingan dalam setiap aktiviti yang dilakukan agar tidak merasa bosan sepanjang melakukan aktiviti tersebut.

Penganjuran program secara dalam talian ini ada yang ditawarkan secara percuma dan ada yang berbayar. Buatlah pilihan berdasarkan kemampuan kita. Berbelanja untuk sihat adalah pelaburan yang pastinya menjanjikan keuntungan terhadap diri. Walaupun banyak bahan-bahan yang boleh kita layari di internet secara percuma, latihan yang disertai bimbingan jurulatih pastinya akan memberikan kesan yang berbeza kerana latihannya lebih berstruktur mengikut sasaran yang ingin dicapai.

 

 

Amalan pemakanan yang sihat

Pengambilan makanan sihat yang mengandugi sumber protein, karbohidrat dan serat ini amatlah penting bagi kita mencapai keperluan nutrisi seharian mengikut keperluan badan individu. Merujuk kepada Kementerian Kesihatan Malaysia, kempen makan pinggan sihat atau lebih dikenali sebagai konsep “Suku-Suku Separuh” merujuk kepada suku bahagian pinggan diisi dengan sumber karbohidrat seperti nasi atau roti, suku pinggan lagi diisi dengan sumber protein seperti ikan, ayam, daging dan kekacang manakala separuh pinggan lagi diisi dengan buah dan sayur.

Nasi pastinya merupakan makanan pilihan rakyat Malaysia. Jadi berkonsepkan suku-suku separuh ini, pasti ianya dapat membantu individu untuk menikmati hidangan dengan lebih sihat seterusnya mengurangkan masalah obesiti yang membawa pelbagai penyakit tidak berjangkit dalam kalangan rakyat Malaysia. Selain itu, ilmu pemakanan ini dapat diperincikan lagi dengan pengiraan kalori mengikut keperluan badan seseorang.

 

 

Pengambilan air yang secukupnya

Air adalah komposisi utama dalam tubuh manusia. Kira-kira 45 hingga 75 peratus daripada berat badan manusia dewasa adalah terdiri daripada air. Air memainkan peranan yang penting apabila terlibat hampir dalam setiap fungsi utama badan seperti mengawal suhu badan, menghapuskan sisa yang tidak diperlukan, membawa nutrien dan oksigen ke sel serta mengawal keseimbangan elektrolit tubuh. Oleh yang demikian, pengambilan air sekurang-kurangnya lapan gelas sehari amatlah penting demi memastikan tubuh kekal sihat dan cukup hidrat. Pengambilan air boleh dipertingkatkan lagi dalam keadaan cuaca yang panas atau selepas bersenam.

 

 

Sentiasa amalkan kesederhanaan dalam melakukan senaman. Rutin latihan yang banyak tidak semestinya menunjukkan ianya adalah baik. Dapatkan rehat yang cukup kerana ianya juga merupakan salah satu elemen utama dalam meningkatkan prestasi selain mengurangkan risiko kecederaan. Bersenamlah secara sederhana dan konsisten. Terus kekal aktif pada era pandemik ini!

 

Artikel ini juga diterbitkan di..

Johor Kini, 3 September 2021

https://www.johorkini.my/rencana-kekal-cergas-ketika-pandemik/amp/

 

 

Farhawahidah Ahmad Puad

Pusat Sukan Universiti

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Categories
E-WacanaKeratan Akhbar 2021Rencana

RELATED ARTICLE

  • Kehidupan tanpa zuriat, bolehkah bahagia?

    Kehidupan tanpa zuriat, adakah kita antara orang-orang yang bahagia? Zuriat adalah kurniaan yang Maha Esa kepada hamba-Nya. Dalam setiap perkahwinan sudah pasti kita mengharapkan kehadiran zuriat yang akan menjadi...
  • Memerdekakan jiwa yang gusar

    Walaupun Malaysia telah mengecapi kemerdekaan selama 64 tahun namun hari ini kita berdepan dengan “musuh” baharu yang lebih berbahaya kerana tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Pandemik ini telah...
  • Nilai merdeka dari kaca mata pandemik Covid-19

    Merdeka. Apakah erti kemerdekaan bagi diri anda? Adakah cukup dengan laungan keramat “Merdeka!” menjelangnya tanggal 31 Ogos? Atau adakah cukup sekadar mengibarkan bendera Jalur Gemilang sebagai simbolik menyambut Hari...
  • Teknologi Blockchain pada era revolusi digital

    Semenjak Bitcoin mencapai paras harga tertinggi pada April 2021 yang lalu, ramai yang mula berjinak-jinak dengan matawang kripto. Namun tidak ramai yang cakna dengan teknologi yang disandarkan di sebaliknya....