Jiwai kemerdekaan dengan semangat perjuangan

Sambutan Hari Kebangsaan Malaysia pada tahun ini memasuki tahun kedua diraikan dalam suasana pandemik. Seluruh negara masih dalam kegelisahan di kala jumlah kes baharu harian Covid-19 kekal konsisten sekitar...

Sambutan Hari Kebangsaan Malaysia pada tahun ini memasuki tahun kedua diraikan dalam suasana pandemik.

Seluruh negara masih dalam kegelisahan di kala jumlah kes baharu harian Covid-19 kekal konsisten sekitar 20 ribu kes sejak beberapa minggu yang lalu. Kadar kematian harian turut berada di tahap yang tinggi iaitu sekitar 200 kes sehari.

Untuk mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, rakyat Malaya telah melalui keperitan dan pelbagai kesengsaraan dalam perjuangan menentang para penjajah. Ada yang berjuang dengan mengangkat senjata, ada yang menggunakan ketajaman mata pena, ada yang mempertaruhkan harta benda manakala yang bijak pandai menyemai semangat kebangkitan rakyat melalui gerakan politik dan diplomasi. Dengan semangat patriotik dan satu hati yang jitu, maka terlucutlah bendera Union Jack dan terkibarlah jalur gemilang keramat menjelang detik 12 malam 31 Ogos 1957.

64 tahun berlalu, kini negara umpama dijajah kembali. Namun penjajahan kali ini tanpa ketumbukan tentera jauh sekali pertempuran bersenjata. Yang ada hanyalah musuh tidak nampak yang membunuh dan menyekat kebebasan keseluruhan penduduk sebuah negara yang merdeka.

Penguatkuasaan proklamasi darurat baru-baru ini seolah mengimbau saat ketakutan di era penjajahan. Krisis kesihatan yang berpanjangan, pergerakan rakyat tersekat, sektor ekonomi menuju kelumpuhan, kadar kemiskinan membarah, institusi pendidikan terbantut ditambah pula dengan kecelaruan politik dan kepimpinan negara. Situasi ini umpama medan perang dan menuntut rakyat keseluruhannya bangkit berjuang untuk mengecapi kembali sebuah kemerdekaan.

Perjuangan melawan penjajahan pandemik ini sememangnya sukar kerana ia “musuh” yang tidak zahir. Pertempuran bukan dengan senjata tetapi kesiapsagaan kendiri melalui vaksinisasi, sanitasi dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

Perjuangan ini bukan sahaja memerlukan iltizam yang kuat untuk diri serta keluarga bertahan dari tekanan ekonomi dan sosial, tetapi turut menagih solidariti dalam saling membantu insan sekeliling yang terpalit kesempitan.

Rakyat Malaysia pada masa ini sememangnya sedang berjuang. Perjuangan maknawi melawan kehendak nafsu dan keinginan untuk bergerak bebas, melancong, bersosial, berhibur secara terbuka dan pelbagai sekatan lain telah menjadi satu tanggungjawab bagi setiap penduduk. Inilah perjuangan suci kita untuk pertiwi tercinta.

Melawan pandemik merupakan satu perjuangan yang memerlukan daya tahan yang kuat kerana ia mungkin akan mengambil masa yang panjang untuk reda. Dengan sebab itulah seluruh warga negara perlu memaknai sambutan kemerdekaan kali ini dengan semangat perjuangan para pejuang kemerdekaan kita yang dulu. Perjuangan mereka pantang berundur, perjuangan mereka tanpa lelah, perjuangan mereka sehingga Malaya merdeka. Semangat perjuangan inilah yang sepatutnya menjadi iltizam dan jihad kita sekarang.

Yakinlah, segala pengorbanan kita dalam perjuangan hari ini pasti akan berjaya meletakkan Malaysia kembali bangkit dalam carta negara hebat di dunia. Salam kemerdekaan dan salam perjuangan buat seluruh rakyat Malaysia, semoga kita merdeka dari pandemik Covid-19!

 

Artikel ini juga diterbitkan di..

UTUSAN MALAYSIA, 27 Ogos 2021

https://www.utusan.com.my/rencana/2021/08/warnai-kemerdekaan-dengan-semangat-perjuangan/?preview_id=180663

MALAYSIA KINI, 27 Ogos 2021

https://www.malaysiakini.com/letters/588833

 

             

Shafry Salim

Ketua Jabatan Komunikasi Korporat

Pejabat Pemasaran dan Komunikasi Korporat

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Categories
E-WacanaKeratan Akhbar 2021Rencana

RELATED ARTICLE

  • Kehidupan tanpa zuriat, bolehkah bahagia?

    Kehidupan tanpa zuriat, adakah kita antara orang-orang yang bahagia? Zuriat adalah kurniaan yang Maha Esa kepada hamba-Nya. Dalam setiap perkahwinan sudah pasti kita mengharapkan kehadiran zuriat yang akan menjadi...
  • Memerdekakan jiwa yang gusar

    Walaupun Malaysia telah mengecapi kemerdekaan selama 64 tahun namun hari ini kita berdepan dengan “musuh” baharu yang lebih berbahaya kerana tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Pandemik ini telah...
  • Nilai merdeka dari kaca mata pandemik Covid-19

    Merdeka. Apakah erti kemerdekaan bagi diri anda? Adakah cukup dengan laungan keramat “Merdeka!” menjelangnya tanggal 31 Ogos? Atau adakah cukup sekadar mengibarkan bendera Jalur Gemilang sebagai simbolik menyambut Hari...
  • Teknologi Blockchain pada era revolusi digital

    Semenjak Bitcoin mencapai paras harga tertinggi pada April 2021 yang lalu, ramai yang mula berjinak-jinak dengan matawang kripto. Namun tidak ramai yang cakna dengan teknologi yang disandarkan di sebaliknya....