Oleh Dr. Fazleen Izzany Abu Bakar, ChM Dr. Norhayati Muhammad, Dr. Munira Zainal Abidin
PAGOH, 27 Julai 2021 – Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST) dengan kerjasama Institut Ahli Sunnah Wal-Jamaah (iSWAJ), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah melaksanakan Program e-SULAM Mentor Mentee dan Webinar Pensijilan Halal Industri Makanan yang melibatkan lebih 30 peserta dari industri makanan terpilih.
Projek ini dijalankan selama 14 minggu di bawah Program Service Learning Malaysia-University for Society (SULAM) oleh 42 pelajar tahun dua program Ijazah Sarjana Muda Sains (Teknologi Makanan) dengan Kepujian, bagi kursus Makanan Halal (BWD20702).
Menurut Pensyarahnya, Dr. Fazleen Izzany Abu Bakar produk makanan yang mempunyai pengiktirafan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bukan sahaja diterima di Malaysia, malah telah mendapat perhatian seluruh dunia.
“Pemilikan pensijilan halal ini dipercayai mampu meningkatkan ekonomi pengusaha industri makanan di Malaysia.
“Namun begitu, sebahagian besar pengusaha industri makanan masih belum mempunyai pensijilan halal terutamanya pengusaha makanan mikro lantaran kekurangan ilmu pengetahuan yang berkaitan.
“Atas dasar itulah projek ini dilaksanakan untuk berkongsi pengetahuan berkaitan konsep halal dan toyyiban dalam penghasilan produk makanan, kepentingan pensijilan halal dan prosedur permohonan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM),” katanya.
Projek ini diadakan melalui sistem mentor mentee yang menggunakan media sosial Facebook sebagai medium utama, di samping aplikasi WhatsApp, Google Meet dan Zoom bagi menyalurkan ilmu pengetahuan kepada pengusaha industri makanan mikro.
Program ini juga dijalankan secara berkelompok, iaitu satu mentor yang mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) dihubungkan dengan lima mentee yang masih belum memiliki SPHM.
Turut diadakan, Webinar Pensijilan Halal Industri Makanan yang berlangsung pada 13 Jun lalu melibatkan penceramah jemputan iaitu Tuan Hj Mustapha Omar dari Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), Dr. Halimi Mohd Khalid dari iSWAJ, ChM Dr. Norhayati Muhammad dari FAST dan Tuan Muhammad Amzar Yasar, Pengurus Pau Mira, Pagoh.
Webinar ini telah berjaya menarik 160 orang peserta yang terdiri daripada pelajar dan pihak industri.
“Melalui program ini, pelajar dapat mengaplikasikan ilmu teori yang diperoleh melalui pembelajaran dalam bilik kuliah dan dikongsikan kepada komuniti khususnya pihak industri.
“Tambahan pula, pelajar dapat memperoleh ilmu berkaitan permohonan sijil halal dan isu-isu serta permasalahan dalam proses mendapatkan pensijilan halal yang dihadapi oleh pihak industri makanan,” katanya.
Sementara itu, peserta program, Nor Hafiza Tanuri yang mewakili Fieza Fizz Delight Enterprise berkata program seumpama ini dapat memberi pendedahan kepada peniaga industri kecil sederhana (IKS) mengenai kepentingan dan prosedur memiliki sijil halal.
Beliau berharap program seperti ini dapat dianjurkan lagi pada masa akan datang.