Oleh Dr. Nurul Hidayah Liew Abdullah

BATU PAHAT, 24 Jun 2021 – Walaupun penularan pandemik covid-19 masih tidak berpenghujung, namun situasi ini tidak menghalang penganjuran program mobiliti antara Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dengan Zhejiang Technical Institute of Economics (ZJTIE), China.

Jawatankuasa Mobiliti Outbound, Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV), UTHM dan ZJTIE telah mengadakan ‘Summer Camp UTHM-ZJTIE 2021’ secara dalam talian bagi menggantikan program mobiliti outbound secara fizikal.

Seramai 54 pelajar UTHM iaitu 49 pelajar FPTV, 3 pelajar FKEE dan 2 pelajar program diploma telah mengikuti program ini yang berlangsung pada 18 hingga 29 Januari 2021 lalu. Turut serta, pelajar dari Morocco, Kanada dan Thailand.

Fasa kedua yang dirancang akan diadakan secara fizikal ke Zhejiang, China terpaksa digantikan dengan aktiviti interaktif ekoran daripada penularan pendamik Covid-19 dalam negara yang semakin membimbangkan. Inisiatif tersebut telah diadakan pada 24 Jun lalu dengan pelbagai aktiviti interaktif termasuk pertunjukan talent show berkaitan kebudayaan.

Pada fasa pembelajaran secara dalam talian, pelajar telah didedahkan dengan kebudayaan Cina, pembelajaran bahasa Mandarin, perubatan tradisional Cina dan e-dagang.

Manakala pada fasa kedua, setiap pelajar memainkan peranan penting untuk menggerakkan program tersebut. Mereka dikehendaki menjadi tenaga pengajar untuk rakan strategik masing-masing. Antara pengisian untuk aktiviti ini, mereka perlu  mengajar bahasa ibunda dan lagu tempatan kepada rakan strategik.

Walaupun program dilaksanakan dalam masa yang singkat, namun pelajar dari kedua-dua institusi ini dapat mempelajarinya dengan baik di samping dapat mewujudkan suasana harmoni.

Pelajar yang mengikuti program ini majoritinya memberi maklum balas positif dan melahirkan rasa syukur kerana masih berpeluang mengikuti program walaupun dalam situasi sukar.

Menurut Muhammad Nuqman Mohd Nasir, pelajar Program Elektrik dan Elektronik, beliau telah diberi amanah untuk menguruskan bahagian teknikal secara langsung.

“Pada mulanya saya merasa sedikit gementar kerana bahagian teknikal sangat penting untuk memastikan kelancaran dan kejayaan program dalam talian seumpama ini.

“Namun hasil bimbingan dan bantuan Dr. Nurhanim Saadah Abdullah, semuanya berjalan lancar,” katanya.

Sementara itu, Ain Syakirah Mohamad Sa’id selaku wakil pelajar yang menyampaikan ucapan pada program ini menyifatkan peluang yang diberikan seperti ini perlu direbut oleh semua pelajar.

Manakala Karen Sharmini A/P Michael pula berkata tugas sebagai pengacara majlis peringkat antarabangsa ini agak mencabar, namun setelah berbincang dengan rakan pengacara dari ZJTIE, akhirnya semuanya berjalan seperti dirancang.

Kejayaan penganjuran aktiviti interaktif sesama peserta program ini diharapkan dapat diteruskan dan dimanfaatkan oleh lebih ramai pelajar.

Peluang menyertai mobiliti outbound semasa penularan pendamik ini perlu direbut kerana tidak melibatkan sebarang implikasi kewangan. Perkongsian ilmu pengetahuan yang diperoleh melalui program ini diharap dapat meningkatkan keyakinan dan kekuatan fizikal dan mental pelajar dalam apa jua situasi.

 

*Kelas e-dagang yang disampaikan oleh pensyarah ZJTIE

*Pertunjukan talent show tentang abacus oleh ZJTIE

*Kesungguhan peserta UTHM mempelajari lagu Jasmine Flower yang diajarkan oleh rakan peserta dari ZJTIE

*Penyelaras UNEVOC, ZJTIE, Profesor Tony bersama-sama peserta dari ZJTIE pada acara penutup program

*

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dr. Azme Khamis, wakil rasmi Naib Canselor UTHM menyampaikan ucapan

Terancy Barajing anak Demin sedang mengajarkan seni kata lagu Rasa Sayang kepada rakan strategik dari ZJTIE