Oleh Mohd Hazrin Abd Rahman
BATU PAHAT – Dua atlet Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) iaitu Muhammad Arif Ruslan dan Eazlan Syaqirin Che Azid telah terpilih mewakili Pasukan Futsal KPT-PST Mustang bagi menyertai Malaysia Premier Futsal League (MPFL) 2021 yang akan berlangsung pada 5 Jun hingga 15 Ogos akan datang.
Sebelum itu mereka telah mengikuti sesi pemilihan yang telah diadakan di Arena UPSI, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim pada 22 hingga 28 Mac 2021.
Ini membuktikan Pusat Sukan Universiti (PSU) sentiasa komited dalam membangunkan bakat pelajar dalam bidang sukan ke peringkat yang tertinggi.
Pelbagai usaha telah dilakukan antaranya menyediakan penyelaras pasukan, jurulatih pasukan, pengurus pasukan, fasiliti, kemudahan, peralatan, seminar, kursus, latihan, insentif dan kebajikan.
PSU juga sentiasa menyokong kemenjadian mahasiswa dan menerapkan kemahiran insaniah sejajar dengan misi universiti bagi melahir dan melatih ahli profesional dan teknologi yang bersahsiah mulia dan berdaya saing di arena global melalui program akademik holistik dan pembudayaan ilmu serta penyelidikan yang berteraskan konsep tauhid.
Tambahan lagi UTHM sentiasa berusaha keras dalam menyahut saranan Kementerian Pengajian Tinggi dalam melahirkan ‘Thinking Athletes’ yang merupakan tunjang utama dalam meningkatkan sahsiah pelajar yang seimbang dalam akademik dan sukan.
Bakat yang ada pada atlet perlu diasah walaupun melanjutkan pengajian ke universiti dan menolak persepsi negatif bakat sukan mereka terkubur di institute pengajian tinggi.
Universiti boleh menjadi landasan dan medan penting dalam menyedia dan membentuk barisan tenaga pakar bagi menggalas penyediaan pegawai, jurulatih dan atlet sukan berprestasi tinggi mewakili negara.
Usaha tersebut dapat mengembangkan bakat mahasiswa dengan diberi latihan secara sistematik ketika melanjutkan pengajian di universiti tempatan.