Pusat Pengajian Diploma juarai Sukan Antara Fakulti Edisi Maya 2021

Oleh Mohd Hazrin Abd Rahman BATU PAHAT, 10 April 2021 – Pusat Pengajian Diploma, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dinobatkan sebagai juara keseluruhan pertandingan Sukan Antara Fakulti Edisi...

Oleh Mohd Hazrin Abd Rahman

BATU PAHAT, 10 April 2021 – Pusat Pengajian Diploma, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dinobatkan sebagai juara keseluruhan pertandingan Sukan Antara Fakulti Edisi Maya 2021 yang berlangsung selama 10 hari bermula pada 1 hingga 10 April lalu.

Pasukan PPD membawa pulang tiga pingat emas, tiga perak dan dua gangsa diikuti dengan Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (FKAAB) sebagai naib juara keseluruhan dengan kutipan pingat sebanyak tiga emas, dua perak dan satu gangsa.

Manakala Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK) mendapat tempat ketiga keseluruhan dengan kutipan dua pingat emas, dua perak dan satu gangsa.

Kejohanan anjuran Pusat Sukan Universiti (PSU) dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Kelab Kejuruteraan Awam (KKA) ini menawarkan 93 pingat dan piala khusus untuk para pemenang.

Sukan Antara Fakulti Edisi Maya 2021 ini merupakan kali pertama dianjurkan secara maya oleh PSU dengan kerjasama FKAAB sebagai tuan rumah.

Program ini merupakan salah satu usaha PSU bagi menyediakan program-program pembangunan sukan di UTHM di saat negara dilanda pandemik Covid-19.

Ia juga bertujuan untuk menggalakkan penyertaan lebih ramai warga kampus dalam sukan dan rekreasi di samping menerapkan gaya hidup sihat dalam kehidupan mereka, sekali gus mempertingkatkan lagi prestasi sukan dengan lebih berkesan dan cemerlang.

Kejohanan berprestij di peringkat universiti ini mendapat sambutan yang cukup memberangsangkan apabila mendapat penyertaan penuh daripada sembilan fakulti.

Sembilan acara telah dipertandingkan iaitu Mobile legends, PUBG Mobile , Dota 2 , Catur (Online) , Kecergasan Olahraga, Football (Freestyle), Basketball (Shooting Challenge) , Silat Seni Solo Kreatif dan Berbasikal.

Sementara itu, Majlis Pelancaran Sukan Antara Fakulti Edisi Maya 2021 telah diadakan pada 30 April lalu, disempurnakan oleh Menjalankan Tugas Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Madya Ts. Dr. Lokman Hakim Ismail. Hadir sama, Dekan Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (FKAAB), Profesor Ir. Ts. Dr. Mohd Irwan Juki selaku tuan rumah.

Kejohanan pada kali ini diakhiri dengan majlis penutup yang dirasmikan oleh Naib Canselor UTHM, Profesor Datuk Ts. Dr. Wahid Razzaly pada 10 April lalu melalui platform YouTube UTHM TV.

 

 

Categories
Sukan

RELATED ARTICLE