BATU PAHAT – Muhammad Nor Iman Ismail, pelajar Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berjaya meraih gelaran juara ketika menyertai Pertandingan Sayembara Sajak Merdeka 2020 yang berlangsung pada 7 Ogos hingga 16 September lalu.
Anak muda yang berasal dari Kuantan, Pahang ini membawa pulang wang tunai berjumlah RM1000, plak serta sijil penghargaan.
Pertandingan tersebut turut menyaksikan peserta daripada Pulau Pinang meraih tempat kedua, Selangor di tempat ketiga dan Sabah mendapat Anugerah khas Juri.
Sajak nukilannya yang bertajuk “Rumah Merdeka” meletakkan rumah sebagai simbolik, yang mengisahkan rakyat Malaysia ibarat adik-beradik dalam satu keluarga yang membesar dalam satu suasana yang harmoni.
Sajak tersebut turut menekankan kepentingan menghargai perjuangan tokoh-tokoh terdahulu, menghormati Rukun Negara dan Jalur Gemilang sebagai lambang cinta kepada negara ini.
Pertandingan anjuran Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) melalui Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) ini dianjurkan untuk memupuk dan menyemarakkan lagi semangat cintakan negara serta perpaduan dalam kalangan masyarakat tidak mengira umur, bangsa, kaum ,agama dan kepercayaan.
Pertandingan ini turut memberi peluang dan ruang kepada para pelajar untuk menzahirkan rasa kecintaan mereka terhadap tanah air melalui penulisan sajak.