BATU PAHAT – Rosdi Abdullah dari Pusat Kebudayaan Universiti, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang mewakili negeri Johor di Pertandingan Pengisahan Kenegaraan Malaysia 2020 Peringkat Kebangsaan bergelar juara setelah berjaya menumpaskan lebih satu ribu peserta dari seluruh Malaysia.

Rentetan kejayaan tersebut, satu Majlis Penyampaian Anugerah dan Sesi Khas Ketua Pengarah Penerangan Bersama Pemenang (Johan) Kenegaraan 2020 telah diadakan di Kementerian Penerangan Malaysia Putrajaya secara dalam talian pada 16 November 2020 lalu.

Beliau membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM3000, trofi serta sijil penyertaan.

Pertandingan tersebut turut menyaksikan Kelantan meraih tempat kedua, Perak di tempat ketiga manakala Pahang dan Selangor mendapat Anugerah khas juri dan hadiah sagu hati.

Rosdi mempertaruhkan karya dan arahan beliau sendiri yang bertajuk “Bukit Kepong antara Darah dan Sejarah” yang berkisarkan perjuangan tokoh kepolisan zaman “Bukit Kepong” pada tahun 1950. Tokoh yang tidak didendang bernama Yusof Rono adalah antara polis Bukit Kepong yang terselamat dalam peperangan antara komunis waktu itu. Beliau menceritakan kembali detik-detik tragis yang bersejarah itu kepada masyarakat melalui karyanya dengan melakonkan sendiri watak tersebut.

Untuk rekod, kumpulan Wira UTHM di bawah bimbingan Rosdi pernah menjuarai pertandingan ini di peringkat negeri Johor pada tahun 2019 dan mendapat tempat ketiga di peringkat Kebangsaan. Pada tahun ini, pertama kali negeri Johor mencatat sejarah meraih gelaran juara di peringkat kebangsaan selama pertandingan ini pernah diadakan.

Pertandingan Pengisahan Kenegaraan ini adalah pertandingan yang mengangkat semangat perpaduan masyarakat, dengan membawa konsep persembahan teater dan penggunaan multimedia dan dinilai dari sudut kreativiti serta kesahihan cerita. Sepanjang penganjurannya, pertandingan ini sentiasa mendapat sambutan luar biasa daripada masyarakat di negara ini.