Dr. Muhammad Ammar Shafi, graduan bidang Sains (Statistik) menarik nafas lega setelah bertahun-tahun bertungkus lumus memerah otak dan keringat untuk menghabiskan pengajian peringkat doktor falsafah (PhD) di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).
Bercerita tentang kisahnya, Ammar menjelaskan dia dari awal lagi sememangnya bercita-cita untuk menyambung pengajian di peringkat sarjana dan PhD.
Namun enggan menyusahkan keluarga di kampung, beliau cuba mencari alternatif sendiri untuk membiayai pengajiannya dengan memohon pinjaman pendidikan dan berniaga makanan secara kecil-kecilan.
“Pada tahun 2015, saya mengambil keputusan untuk menamatkan zaman bujang dengan pilihan hati.
“Bagi saya berkahwin ketika masih bergelar pelajar bukanlah satu bebanan. Pada awalnya saya juga mempunyai masalah kewangan untuk menyara keluarga kecil kami dan menampung perbelanjaan sepanjang pengajian.
“Saya pernah mengira-ngira duit syiling dalam tabung simpanan untuk ditukarkan dan telur menjadi hidangan utama kami,” katanya.
Tidak mahu terus dihimpit dengan masalah kewangan, Ammar dan isterinya mengambil inisiatif berniaga makanan secara kecil-kecilan bagi menampung perbelanjaan harian.
Berkat usaha yang berterusan, dia kemudiannya ditawarkan menjadi pembantu penyelidik oleh penyelia PhD dan tutor kepada seorang pelajar yang mempunyai masalah disleksia.
Bermula dari situ Ammar terus mengorak langkah untuk menjadi home tutor bagi pelajar sekolah rendah dan menengah dengan menyediakan tuisyen secara personal dan group serta menganjurkan seminar bagi subjek Matematik. Berdiri dengan nama Amthriz, dia kemudiannya turut dijemput sebagai pengajar jemputan bagi subjek Matematik di sekolah-sekolah sekitar Johor, Pahang dan Negeri Sembilan.
“Berkat sokongan ibu bapa dan isteri, saya meneruskan impian untuk mendaftarkan diri sebagai pelajar PhD walaupun mulai sibuk dengan kerja sampingan tersebut.
“Memegang status sebagai pelajar, suami dan ayah kepada dua orang anak, ianya menjadi satu cabaran dan momen yang indah dalam perjalanan kehidupan saya.
“Selepas bertahun-tahun bertungkus lumus menghabiskan pengajian, kini saya merasa pengorbanan selama ini sangat berbaloi.
“Yang penting usaha, doa dan tawakal perlu seiring selain restu daripada orang tua,” ujarnya yang kini bergelar Pensyarah di Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, UTHM.