Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mencatat rekod sekali lagi apabila salah satu kumpulan penyelidiknya berjaya memenangi hadiah utama 1st Grand Prize Video Inovatif dan dua pingat emas ketika menyertai Asian International Innovation Exhibition 2020 (AIINEX2020) yang berlangsung pada 18 hingga 20 September 2020 lalu secara dalam talian.
Kumpulan penyelidik tersebut yang diketuai Ts. Dr. Suliadi Firdaus Sufahani Pensyarah dari Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST) dan juga Penyelidik Utama Oasis Integrated Group (OIG) telah berjaya memenangi anugerah itu melalui projek “New Fundamental Theory In Solving The Royalty Payment Problem” dan “Malaysian Secondary Boarding School Menu Planning System”.
Kejayaan itu turut dikongsi oleh ahli lain yang turut serta dalam projek ini iaitu Cik Wan Noor Afifiah Wan Ahmad dan Azila Md Sudin dari FAST serta Mohd Helmy Abd Wahab dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik. Mereka membawa pulang wang tunai berjumlah RM1000.
Academia Society & Industry Alliance (ASIA) adalah rangkaian penyelidikan yang bertujuan untuk mewujudkan perkongsian simbiotik antara akademik dan industri untuk memberikan penyelesaian yang mampan untuk masalah sosial dan industri.Pertandingan yang disertai lebih 200 penyertaan dari pelbagai peringkat badan organisasi, institut pengajian tinggi (IPT), sekolah menengah dan rendah dari dalam dan luar negara ini diadakan pertama kali secara dalam talian berikutan pandemik Covid-19 masih membelenggu dunia.
Pertandingan inovasi yang bertemakan “Menuju Inovasi dan Kepelbagaian dalam Revolusi Industri 4.0” ini dipertandingkan di bawah tiga kategori berbeza iaitu Pembentangan secara dalam talian, Poster Infografik dan Video Inovatif.
Menurut Suliadi, kejayaan ini adalah berkat kerjasama dari kesemua ahli projek dan merupakan anugerah buat fakultinya serta anugerah sulung untuk OIG.
“Ini secara tidak langsung membuktikan bahawa bidang sains dan teknologi dapat menghasilkan sesuatu yang bermanfaat untuk diaplikasikan dalam dunia sebenar” ujar beliau.
Suliadi sebelum ini sangat aktif dalam bidang penyelidikan dan inovasi dan pernah memenangi pelbagai anugerah di dalam dan luar negara.
Beliau berharap kejayaan kali ini mampu menjadi pemangkin kepada semua penyelidik di IPT khususnya UTHM untuk terus mencipta kecemerlangan dalam bidang penyelidikan masing-masing.