Malaysia telah melalui tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) sejak daripada 18 Mac 2020 sebagai langkah membendung penularan jangkitan Covid-19. Tempoh ini adalah terlalu lama jika diukur dari kesannya terhadap perkembangan ekonomi negara. Pandemik Covid-19 dan PKP telah memberi impak yang sangat signifikan terhadap pelbagai aspek ekonomi termasuk industri pembinaan.
Pandemik Covid-19 telah memberi kesan secara langsung dan juga tidak langsung terhadap industri pembinaan. Secara langsungnya, ia boleh menjangkiti sebahagian daripada pekerja di tapak bina. Antara faktor utama tersebarnya jangkitan ini dalam kalangan pekerja terutama yang bukan warganegara adalah disebabkan faktor keadaan persekitaran di tapak bina dan penginapan pekerja yang tidak kondusif, sempit, sesak serta tiada amalan penjagaan kebersihan. Bilangan pekerja bukan warganegara yang dijangkiti adalah lebih ramai kerana mereka inilah merupakan sebahagian besar pekerja pembinaan di negara kita.
Secara tidak langsungnya, pandemik ini telah memberi kesan terhadap kemajuan ekonomi negara jika lumpuhnya sektor pembinaan. Seperti yang kita ketahui, terdapat kolerasi yang signifikan di antara sektor pembinaan dan perkembangan ekonomi di Malaysia terutama dalam penjanaan pendapatan negara, pembentukan modal dan penawaran pekerjaan. Semua ini menyokong penghasilan produk domestik dan perkembangan sosioekonomi negara secara keseluruhan. Melihat daripada peranan sektor ini yang sangat besar terhadap perkembangan ekonomi negara, maka adalah sangat penting kerajaan memberi perhatian sewajarnya terhadap sektor ini.
Untuk membendung kesan secara langsung iaitu penyebaran jangkitan dalam kalangan pekerja, pelbagai standard procedure atau SOP telah dan sedang diperkenalkan oleh kerajaan. Ini termasuk penambahbaikan tempat kediaman pekerja, mengawasi kesihatan pekerja, mengamalkan penjarakan sosial dan memberi pendidikan tentang amalan kebersihan kepada pekerja. Namun, selain dari SOP yang telah dirangka dan amalan yang digalakkan tersebut, teknologi pembinaan yang lebih sesuai patut dipraktikkan di sektor pembinaan. Teknologi yang dimaksudkan adalah teknologi Sistem Binaan Berindustri atau Industrialized Building System (IBS). Sistem IBS bukanlah baharu dalam industri pembinaan, sebaliknya ia telah lama diperkenalkan dan dipraktikkan dengan meluas di luar negara. Penggunaan teknologi ini di Malaysia telah bermula sejak tahun 1960an lagi yang mana projek awalnya adalah Flat Pekeliling, Kuala Lumpur yang dibina pada tahun 1966 dan Flat The Rifle Range, Pulau Pinang, yang dibina pada tahun 1969. Pada masa sekarang, IBS bukan hanya digunakan dalam pembinaan bangunan kediaman, tetapi digunakan dalam pelbagai pembinaan lain seperti sekolah, bangunan pejabat, stadium dan pusat membeli belah. Contohnya, Stadium Bukit Jalil, bangunan Petronas Twin Tower dan bangunan Kuala Lumpur Sentral.
Secara amnya, IBS yang dilaksanakan di Malaysia boleh dibahagikan kepada lima kategori iaitu sistem kerangka konkrit pra-tuang, sistem dinding konkrit pra-tuang, sistem lantai konkrit bertetulang pra-tuang, sistem kerangka besi dan sistem kerangka bumbung. Teknologi IBS ini dilihat dapat mengawal jangkitan Covid-19 dan juga dapat memacu ekonomi negara kerana ia mempunyai banyak kelebihan.
Pertama, ia memudah dan mempercepatkan proses pembinaan kerana ia dihasilkan di kilang yang mana kawalan kualiti adalah terjamin. Dengan ini amalan pembinaan konvensional iaitu proses pembancuhan konkrit oleh pekerja di tapak bina dapat dielakkan. Penjadualan kerja yang lebih tepat di tapak bina juga boleh dihasilkan disebabkan produk IBS yang telah ditetapkan dan ditempah dari peringkat awal permulaan projek. Penyeragaman saiz dan bahan bagi penghasilan IBS di kilang membolehkan proses pembinaan yang cepat tanpa pembaziran.
Kedua, pemasangan sistem ini di tapak bina setelah ia dibawa dari kilang adalah dilakukan oleh pekerja mahir dengan bantuan peralatan seperti kren. Kaedah ini memerlukan bilangan pekerja yang kurang jika dibandingkan dengan kaedah penuangan konkrit ke acuan seperti lazimnya. Secara tidak langsung, kawalan penjarakan sosial dapat dilakukan dengan lebih berkesan. Ini juga dapat mengurangkan pergantungan industri pembinaan negara terhadap pekerja binaan asing. Tenaga kerja mahir dan separuh mahir boleh diambil bekerja bagi proses pemasangan mengikut standard teknik pembinaan.
Ketiga, kaedah pembinaan ini juga dapat menjadikan persekitaran tapak bina yang lebih selamat, bersih dan kemas. Ini adalah kerana kurangnya bahan mentah iaitu simen, pasir dan batu baur, besi, kotak bentuk dan lain-lain bahan dan peralatan yang perlu disimpan. Keadaan ini menyumbang kepada kawalan terhadap penularan jangkitan Covid-19.
Keempat, dengan adanya standard bagi komponen IBS dalam pembinaan, penggunaan teknologi maklumat (IT) dalam industri ini boleh diamalkan dengan lebih meluas. Penggunaan IT boleh mempercepatkan komunikasi di antara pemaju, arkitek, kontraktor dan pekerja binaan. Selain itu, ia juga bersesuaian dengan norma baharu pasca Covid-19 iaitu perbincangan atau mesyuarat yang melibatkan sekumpulan individu boleh dijalankan tanpa mereka berada di tempat yang sama.
Kerajaan melalui CIDB telah berusaha menambahbaik kaedah pembinaan konvensional yang memerlukan pekerja yang ramai kepada sistem yang lebih berteknologi tinggi. Namun begitu, penggunaan sistem IBS, walaupun banyak kebaikannya masih lagi jauh dari jangkaan walaupun kerajaan telah menawarkan pelbagai galakan dan kemudahan. Di antara faktor utama yang menyebabkan perlahannya penggunaan sistem IBS ini ialah pertama, kurangnya pengetahuan dalam teknologi IBS dalam kalangan kontraktor dan pekerja. Teknologi ini memerlukan pekerja mahir dan separuh mahir terutama dalam proses pemasangannya di tapak bina. Pemasangan yang betul dan tepat adalah kriteria utama bagi memastikan kejayaan perlaksanaan sistem ini. Kedua, teknologi ini dianggap memerlukan modal yang besar terutama dari segi pengangkutan sistem IBS dari kilang ke tapak bina dan penggunaan kren bagi pemasangan.
Oleh itu bagi mengatasi kekangan ini, segala informasi tentang IBS, yang termasuk kelebihan nya, perlu didokumenkan. Penyelidikan mengenai IBS perlu diperbanyakkan dan hasil penyelidikan juga perlu didokumenkan. Pihak berkuasa tempatan pula perlu mengubah building regulation supaya boleh disesuaikan dengan teknologi IBS dan menghasilkan dokumen teknik pembinaan IBS yang seragam. Dari segi penyediaan pekerja mahir dan separuh mahir, kursus-kursus pensijilan berkaitan penghasilan dan pemasangan IBS boleh disediakan bagi pelajar lepasan sekolah menengah, mahupun graduan dari institusi pengajian tinggi.
Kursus-kursus ini boleh dijalankan di sekolah, institusi kemahiran dan institusi pengajian tinggi. Mereka yang mempunyai sijil kemahiran ini boleh bekerja dengan kontraktor atau mengambil lesen perniagaan khusus bagi pembuatan atau pemasangan sistem IBS. Walaupun bayaran kepada pekerja mahir kebiasaannya lebih tinggi, namun disebabkan bilangan pekerja yang diperlukan adalah kecil, maka kos pembinaan dapat dikurangkan. Begitu juga dengan pengangkutan dan penggunaan kren semasa pemasangannya, biarpun ini melibatkan kos yang tinggi, tetapi penjimatan terhadap penggajian pekerja yang lebih sedikit jumlahnya dan kemudahan pemasangan serta jangka masa proses pembinaan yang lebih pendek akan mengurangkan kos pembinaan secara keseluruhan.
Kesimpulannya, teknologi IBS perlu dimanfaatkan secara lebih meluas dan agresif dalam sektor pembinaan di negara ini kerana ia membantu mengurangkan pergantungan negara terhadap pekerja asing, memudah dan mempercepatkan proses pembinaan dan yang paling penting membantu mengawal penularan jangkitan Covid-19 di tapak bina pasca PKP.
Profesor Dr. Noridah Mohamad
Jamilus Research Center
Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)