Batu Pahat, 21 Mei – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui program UTHM Prihatin 2020 telah menjelajahi 30 kampung di sekitar kampus induk Parit Raja dan kampus cawangan Pagoh bagi memberi sumbangan hari raya kepada kira-kira 190 keluarga asnaf.
Sumbangan berupa makanan dan duit raya yang bermula pertengahan Ramadan lalu ini bertujuan meringankan beban keluarga terbabit di samping memberi sedikit kegembiraan menjelang hari raya aidilfitri yang bakal tiba.
Menurut Naib Canselor, Profesor Datuk Ts. Dr. Wahid Razzaly yang mengetuai program tersebut, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula pada 18 Mac lalu menyebabkan ramai pihak terkesan dari segi kewangan apabila tidak dibenarkan untuk keluar bekerja mahupun membuat sebarang aktiviti di luar.
Tambahan lagi, masih ramai golongan yang kurang bernasib baik dan kurang upaya di luar sana yang memerlukan bantuan masyarakat yang berkemampuan lebih-lebih lagi di kawasan luar bandar.
Atas kesedaran inilah pihak universiti telah mengambil langkah prihatin dengan mengumpul dana hasil sumbangan seluruh warga UTHM termasuk para pelajar untuk disalurkan kepada mereka yang memerlukan.
“UTHM ialah sebuah universiti awam yang berkonsepkan paradigma tauhid, oleh itu pihak kami cuba menerapkan konsep ini melalui program UTHM Prihatin agar setiap warga kampus dapat menzahirkan keprihatinan masing-masing terhadap golongan kurang bernasib baik.
“Sumbangan perseorangan yang dibuat antara RM1 hinggalah ke RM1 ribu ini menunjukkan bahawa warga UTHM benar-benar merasai kepayahan masyarakat dan ianya dizahirkan melalui program seumpama ini,” tambahnya lagi.
Sementara itu, Profesor Madya Dr. Nik Hisyamudin Muhd Nor selaku Pengarah Program pula berkata program ini telah dijalankan hampir 10 tahun, bertujuan untuk menyantuni, memberi bantuan dan sedikit kegembiraan kepada golongan kurang bernasib baik sekitar Parit Raja dan Pagoh.
“Walaupun negara sedang diuji dengan kehadiran pandemik Covid-19, pihak kami bersyukur kerana semua warga UTHM tetap tidak lupa terhadap kebajikan golongan asnaf terbabit,” ujar beliau.
Jelas beliau lagi, program pada tahun ini juga dilaksanakan dengan mengikut prosedur kawalan Covid-19 yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terutamanya berkaitan penjarakan sosial dan sentuhan fizikal dalam kalangan semua yang terlibat.
“Pihak kami juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang terlibat menjayakan program ini dan berharap UTHM mampu membantu lebih ramai lagi golongan asnaf pada tahun-tahun akan datang,” katanya mengakhiri temubual.