MUAR – Dengan berkonsepkan “Scan & Record,” kumpulan inovator Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui kerjasama dengan Majlis Perbandaran Muar (MPM) telah berjaya menghasilkan satu aplikasi bertujuan mengekang dan mengawal penyebaran pandemik Covid-19 di daerah Muar.

Aplikasi yang dinamakan “MPM Tracker” ini telah dilancarkan pada 6 Mei lalu di Pejabat MPM dan ianya mampu merekodkan data pengunjung di premis-premis sekitar Bandar Maharani secara atas talian tanpa perlu pemasangan aplikasi tambahan di telefon bimbit atau peranti eletronik lain.

Aplikasi ini hanya menggunakan aplikasi “QR Code Reader” sedia ada dan pengguna hanya perlu mengimbas dan merekodkan nama dan nombor telefon yang boleh dihubungi di paparan yang disediakan. Melalui aplikasi ini, semua data berkaitan Covid-19 dapat dikumpul secara berpusat di MPM bagi memudahkan urusan perkongsian data di antara MPM dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Yang Dipertua MPM, Tn. Haji Mustaffa Kamal berkata cetusan idea bagi membangunkan aplikasi ini pada awalnya adalah bagi memastikan pengurusan Covid-19 di bandar Muar dapat dijalankan dengan lebih mudah, tersusun dan inovatif sesuai dengan pembudayaan inovasi yang sering dipraktikkan di MPM.

Katanya lagi hasil perbincangan dan pertukaran idea bersama inovator UTHM, fungsi aplikasi ini dipertingkatkan dengan paparan tambahan tentang tatacara yang betul dalam amalan penjarakan sosial, pemakaian topeng muka dan amalan membasuh tangan menggunakan bahan sanitasi berpandukan amalan yang disarankan oleh KKM dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Penggunaan aplikasi ini telah dimulakan di Kaunter Khidmat Pelanggan MPM dan sekitar 30 lokasi premis terpilih di bandar ini sebelum diperluaskan lagi ke seluruh bandar Muar.

Menurut Ts. Dr. Nor Azizi Yusoff, ketua projek bagi pembangunan aplikasi ini, walaupun mempunyai pelbagai kekangan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini, perbincangan tetap diadakan secara atas talian.

Jelas Azizi lagi, pihaknya turut mendapat sokongan dan galakan daripada pihak pengurusan UTHM dan pihak MPM dalam menyiapkan projek ini.

“Pemikiran yang diterapkan dalam Institut Kejuruteraan Integrasi (IIE), UTHM membolehkan penyelidik dari pelbagai bidang berinteraksi serta menggabungkan pengetahuan mereka dalam membentuk sesuatu produk.

“Ini menunjukkan bahawa kerjasama antara universiti dan agensi kerajaan adalah sangat penting dalam memastikan penyelidikan yang dijalankan di universiti dapat diterjemahkan kepada satu bentuk teknologi yang dapat digunakan dan dimanfaatkan oleh masyarakat,” katanya.

UTHM melalui Pejabat Hubungan Universiti dan Industri sentiasa mengalu-alukan sebarang bentuk kerjasama dari pihak luar sama ada industri, agensi kerajaan mahupun masyarakat.

“Usaha dan kerjasama seumpama ini adalah sangat penting dan perlu diteruskan bagi menjamin setiap pelaburan yang dibuat oleh kerajaan dalam bidang penyelidikan dan inovasi dapat memberi manfaat sepenuhnya kepada masyarakat,” tambah Azizi.