Kurang seminggu lagi umat Islam di seluruh dunia akan menyambut Aidilfitri. Namun begitu, kemeriahan menyambut hari raya pada tahun ini sudah pastinya tidak seperti tahun-tahun lalu. Penyebaran wabak COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan memberi kesan kepada suasana sambutan hari kebesaran bagi umat Islam ini.
Sejak awal Ramadan lagi kita tidak dapat merasai keseronokan beribadah di surau dan masjid secara berjemaah. Buat sementara waktu, sepanjang tempoh PKP ini solat berjemaah di masjid dan surau, solat tarawih, amalan bertadarus dan beriktikaf di masjid bersama rakan-rakan jemaah satu kariah tidak dibenarkan. Begitu juga dengan amalan membayar zakat fitrah yang tidak lagi dibayar melalui amil tetapi dibuat secara dalam talian melalui portal zakat yang telah dibangunkan. Begitu juga dengan jual beli di bazar Ramadan yang juga termasuk dalam senarai aktiviti yang dilarang sepanjang tempoh kawalan ini.
Menjelang hari raya, Kerajaan Malaysia juga telah melarang perjalanan merentas negeri untuk pulang ke kampung bagi menyambut Aidilfitri. Untuk itu, sekatan-sekatan jalan raya telah diadakan di sempadan-sempadan antara negeri serta di plaza-plaza tol di seluruh negara. Hanya perjalanan antara daerah sahaja yang dibenarkan. Semasa sambutan hari raya pula, tiada ziarah rumah ke rumah yang dibenarkan. Hanya perkumpulan sesama ahli keluarga sahaja yang dibolehkan dengan mengikut syarat Tatacara Pengendalian Piawai (TPP) yang telah digarispandukan.
Ini termasuklah dalam satu perkumpulan itu tidak boleh melebihi 20 orang, menjaga penjarakan sosial, memakai topeng muka serta tiada sentuhan secara fizikal seperti bersalam dan berpeluk-pelukan. Sehubungan itu sudah pastinya tiada aktiviti bertakbir dari rumah ke rumah pada malam hari raya. Begitu juga dengan solat sunat hari raya juga yang terpaksa dilakukan di kediaman masing-masing bersama-sama ahli keluarga. Solat sunat hari raya di masjid dan surau hanya dibenarkan dengan bilangan jemaah yang terhad mengikut ketetapan majlis agama negeri-negeri. Untuk Aidilfitri tahun ini, tiada lagi aktiviti marhaban dari rumah ke rumah serta rumah-rumah terbuka seperti tahun-tahun lepas yang dibuat hingga ke penghujung Syawal.
Ramai juga yang mahu mengekalkan tradisi balik kampung dengan mencuba nasib untuk merentas negeri untuk pulang ke kampung halaman. Malangnya, mereka kemudiannya diminta untuk berpatah balik ketika menghadapi sekatan jalan raya. Mungkin juga nanti ada yang mencuba-cuba untuk melakukan aktiviti-aktiviti sambutan raya seperti yang biasa dilakukan sebelum ini. Untuk mengatasi kemungkinan itu. Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob telah mengeluarkan kenyataan bahawa pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia akan membuat rondaan bagi memastikan TPP semasa hari raya sentiasa dipatuhi.
Pastinya larangan-larangan ini sedikit sebanyak akan merencatkan sambutan Aidilfitri pada tahun ini. Namun ingatlah, semua larangan ini adalah langkah-langkah penting dalam memerangi wabak COVID-19. Kita mungkin berasa syahdu kerana terkenangkan sanak-saudara serta rakan taulan di kampung yang tidak dapat kita kunjungi semasa Aidilfitri. Tetapi kenanglah juga mereka yang berada di barisan hadapan yang mungkin masih mengenakan pakaian seragam atau pakaian perlindungan keselamatan di pagi raya nanti.
Untuk raya kali ini, korbankanlah sedikit keinginan kita untuk beraya seperti biasa. Jangan biasakan yang biasa, sebaliknya biasakanlah yang betul mengikut TTP yang telah ditetapkan dalam suasana norma baharu.
Dr. Azmi Abdul Latiff
Timbalan Dekan, Pusat Pengajian Bahasa
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
*Gambar (Featured image) hak milik BERNAMA