Batu Pahat, 29 Mei – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) selesai menghantar pulang 2,012 pelajar yang sebelum ini menginap di semua kolej-kolej kediaman dan rumah sewa bagi kedua-dua kampus Parit Raja dan Pagoh ke kampung halaman masing-masing.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Madya Dr. Afandi Ahmad, proses penghantaran pelajar yang bermula pada 30 April dan tamat pada 27 Mei lalu melibatkan tujuh zon iaitu zon selatan (343 orang), zon tengah 1 (267 orang), zon tengah 2 (163 orang), zon timur (346 orang), zon utara (192 orang), zon Sabah (343 orang) dan zon Sarawak (358 orang).

Katanya sebelum bertolak pulang pelajar-pelajar terbabit diwajibkan menjalani saringan kesihatan oleh Pusat Kesihatan Universiti (PKU) bagi memastikan mereka berada dalam keadaan yang baik dan sihat serta bebas daripada jangkitan wabak Covid-19.

“Pihak kami menggunakan puluhan bas, termasuk van dan kereta untuk menghantar mereka pulang ke rumah masing-masing.

“Sebelum berangkat, kesemua kenderaan ini menjalani proses nyah kuman oleh Jabatan BOMBA dan Penyelamat.

“Mereka juga turut melakukan proses sanitasi beg dan bagasi pelajar mengikut tatacara pengendalian piawai (TPP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.

Selain itu, pergerakan perjalanan pulang pelajar tersebut juga dipantau rapi oleh pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

Jelas Dr. Afandi lagi, sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) Fasa 1 dilaksanakan pada 18 Mac lalu, seramai 2,504 pelajar UTHM berada di kampus induk Parit Raja dan kampus cawangan Pagoh.

“Kebajikan mereka diuruskan dengan penuh integriti dan dedikasi oleh para petugas. Proses agihan makanan dilaksanakan secara berjadual di kolej-kolej kediaman termasuk Pelajar Tanpa Asrama (PTA) yang tinggal di rumah-rumah sewa,” katanya.

Tambah beliau selain pemberian makanan dan keperluan harian, aspek kesihatan mental dan sokongan moral juga turut diberikan oleh barisan kaunselor menerusi pelbagai saluran termasuklah aplikasi kumpulan WhatsApp selain dibantu oleh Pengetua dan Felo.

Manakala bagi meningkatkan kesejahteraan pelajar yang menginap di pusat penginapan sementara, keupayaan capaian internet juga dipertingkatkan selain turut melaksanakan beberapa aktiviti secara atas talian selain mengikuti proses pembelajaran dan pengajaran (PdP) dengan berkesan.

“Langkah ini bertujuan untuk membolehkan masa yang ada diisi sebaiknya dengan aktiviti yang berfaedah di samping membentuk minda yang cergas.

“Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) bersama Majlis Kepimpinan Pelajar (MKP) telah berganding bahu menyelaras aktiviti dalam kalangan mahasiswa pada tempoh ini,” katanya.

Sementara itu Naib Canselor, Profesor Datuk Ts. Dr. Wahid Razzaly yang mewakili UTHM turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang sentiasa mengambil berat berkaitan hal ehwal pelajar universiti ini.

“Pihak kami juga berterima kasih dan sangat menghargai bantuan dan sumbangan yang dihulurkan oleh pelbagai pihak dan agensi bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan pelajar terjamin sepanjang tempoh PKP ini,” katanya.