Guru umpama lilin yang membakar diri demi menerangi orang lain. Maksud peribahasa ini adalah seorang guru sanggup berkorban masa dan tenaga demi memastikan anak didiknya berjaya dalam kehidupan.

Namun seringkali kita melihat kisah-kisah duka seperti pelajar melawan cakap gurunya, guru dikhianati pelajar dek kerana dendam dan masalah akhlak yang agak merunsingkan di dada-dada akhbar dan media sosial. Ramai orang berilmu tetapi mereka tidak mementingkan adab sebagai penuntut ilmu. Walaupun begitu, jarang sekali guru berputus asa dalam memberi didikan terbaik kepada anak bangsa.

Islam mengajar kita supaya menghormati guru sepertimana kita menghormati ibu bapa kerana guru umpama pengganti kedua orang tua kita ketika di sekolah ataupun di tempat-tempat menuntut ilmu. Ini kerana ilmu yang dituntut dengan adab yang dipelihara adalah ilmu yang di dalamnya penuh dengan keberkatan.

Pesan Imam Malik RA: “pelajarilah adab sebelum mempelajari sesuatu ilmu” jelas menunjukkan bahawa bukan sahaja ilmu penting dalam kehidupan manusia, tetapi adab juga penting dalam proses menuntut ilmu. Ilmu bersama adab pastinya akan memberi lebih keberkatan dalam hidup seseorang.

Antara adab terhadap guru yang boleh kita amalkan adalah dengan budaya yang paling mudah iaitu memberi salam. Selain dapat mewujudkan sikap hormat menghormati antara murid dengan guru, salam juga adalah sunnah baginda Rasulullah SAW untuk merapatkan lagi hubungan persaudaraan.

Selain itu, ketika guru sedang menyampaikan ilmu di hadapan kelas, sebagai pelajar kita perlu memberi perhatian sepenuhnya. Elakkan berbual-bual tentang perkara yang tidak berkaitan dengan rakan di sebelah mahupun leka melayari media sosial atau permainan pada telefon pintar. Sikap ini menyebabkan kita mungkin tidak dapat memahami atau tertinggal isi-isi penting yang sedang disampaikan oleh guru kita.

Elakkan membantah teguran dan nasihat yang diberikan oleh guru. Sikap ini seolah-olah melawan kata-kata ibu bapa kita. Pastinya setiap teguran dan nasihat itu membawa kebaikan kepada kita semua. Namun begitu, guru juga insan biasa yang tidak sempurna. Jika ada yang perlu ditegur dalam proses sesi pengajarannya untuk penambahbaikan di masa akan datang, pelajar-pelajar boleh menyalurkannya dengan menggunakan medium yang betul. Kerana itu juga, kita dapati kebanyakkan tempat-tempat pengajian ilmu menyediakan satu medium atau platform khas untuk cadangan dan penambahbaikan sesi pengajaran dan pembelajaran. Elakkan menggunakan media sosial sebagai tempat untuk menulis bagi menghina dan mengecam guru-guru sekiranya tidak bersetuju dengan caranya kerana ia bukan sahaja tidak memberi sebarang faedah dan kebaikan, namun dianggap seperti mengumpat, mengaibkan dan memburukkan guru-guru kita. Sudah pasti keberkatan dalam menuntut ilmu itu akan hilang. Mungkin juga keberkatan itu tidak kita sedari pada ketika ini, namun kesannya akan dirasai pada masa akan datang.

Selain itu, kita juga digalakkan untuk mendoakan guru-guru kita dengan doa-doa yang baik. Sesungguhnya setiap doa yang baik akan kembali kepada pendoanya. Tidak rugi jika kita mendoakan orang lain kerana doa juga merupakan hadiah terbaik buat semua orang termasuk guru-guru kita.

Tanggal 16 Mei merupakan tarikh yang memberi banyak makna kepada semua para pendidik tidak kira di mana jua mereka berada dan siapa yang mereka didik. Sambutan ini tidak terbatas kepada guru di sekolah tetapi kepada semua yang bergelar pendidik termasuk jurulatih, pengajar dan pensyarah. Mereka ibu bapa kedua bagi setiap pelajar ketika di sekolah, universiti atau setiap pusat-pusat latihan. Hari ini, setiap pendidik merupakan tulang belakang para pelajar dalam menghadapi cabaran dunia semakin mencabar.

Penulis ingin mengajak semua untuk bersama-sama mendoakan agar guru-guru kita sentiasa dilimpahi rahmah dan kesejahteraan selalu. Peliharalah adab antara pelajar dan guru dalam mencari keberkatan ketika menuntut ilmu. Bagi guru-guru pula, jangan berhenti untuk terus mendoakan kejayaan pelajar-pelajar. Terima kasih guru..

 

Oleh:

Nurulisyazila Othaman

Pusat Pengajian Bahasa, UTHM

 

 

*Imej (sekadar hiasan) daripada Republika