BATU PAHAT, 31 Mac – Pasukan penyelidik Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus melaksanakan tanggungjawab sosialnya kepada negara dalam usaha membantu kerajaan memerangi pandemik Covid-19 yang mula melanda negara sejak awal Mac lalu.
Setelah berjaya menghasilkan pelindung muka, kali ini pula Pasukan Solusi Teknikal UTHM yang terdiri daripada 10 penyelidik berjaya menghasilkan ‘Kotak Intubasi’ untuk digunakan oleh para doktor semasa berhadapan dengan pesakit.
Menurut Ketua Projek, Dr. Wan Saiful-Islam Wan Salim proses melakukan intubasi pesakit Covid-19 memerlukan petugas perubatan untuk berada rapat dengan pesakit yang mana situasi ini akan mendedahkan petugas dengan risiko jangkitan.
Menyedari akan cabaran ini, pasukan ini bertindak memberikan cadangan penyelesaian kepada pihak hospital dengan menghasilkan Kotak Intubasi bagi membantu petugas perubatan terlindung daripada percikan air pesakit contohnya air liur, batuk dan bersin yang boleh membawa risiko jangkitan.
“Kotak Intubasi ini direka bentuk menggunakan ‘solidwork’ dan dihasilkan menggunakan mesin pemotongan laser yang mengambil masa satu hari untuk menyiapkannya.
“Kelebihan utama kotak ini ialah kemampuannya untuk melindungi petugas dari risiko terkena jangkitan dan pada masa yang sama mudah untuk dikendali dan dibersihkan,” katanya.
Beberapa wakil pasukan telah mengadakan pertemuan dengan pihak Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang pada 30 Mac lalu dengan membawa satu unit prototaip Kotak Intubasi.
Dalam pertemuan tersebut, prototaip telah diuji secara teliti oleh pihak hospital dan pasukan tersebut mendapat maklum balas positif untuk proses penambahbaikan yang akan dibangunkan dalam masa terdekat ini.
“Penghasilan solusi segera ini akan dapat dicapai melalui kaedah penyediaan prototaip Minimum Viable Product (MVP) kepada pihak hospital untuk proses maklumbalas walaupun proses inovasinya perlu dilakukan secara berulang kali,” kata PM Dr. Ahmad Jais Alimin selaku Koordinator Projek yang mewakili Kelab Staf UTHM.
Tambahnya lagi pasukan ini sentiasa bersedia memberikan khidmat kepakaran dan buah fikiran masing-masing bagi menjayakan misi ini sekali gus membantu petugas kesihatan menangani wabak pandemik yang kini menghantui negara.
*Pasukan ini diwakili oleh sukarelawan berikut:
Prof. Dr Shahruddin bin Mahzan @ Md Zin (Penaung)
PM Dr. Mustaffa bin Ibrahim
PM Dr. Ahmad Jais bin Alimin
Dr. Wan Saiful-Islam bin Wan Salim
Dr. Omar Mohd Faizan bin Marwah
Dr. Nasuha bin Saude
Dr. Helmy bin Mustafa El Bakri
En. Mokhtar bin Abd. Hamid
En. Ramlee bin Hussein
En. Mohamad Rashid bin Kasmiri