BATU PAHAT- Pejabat Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menzahirkan keprihatinannya dengan menganjurkan program Setulus Kasih TNC HEPA ‘Pasti Skor’ bertempat di Dewan Sultan Ibrahim, kampus induk bermula pada 16 Jun lalu bagi membantu meningkatkan semangat pelajar menghadapi peperiksaan.
Program yang dilaksanakan di kampus induk dan kampus cawangan Pagoh ini merupakan kali kedua dianjurkan ketika bermulanya minggu peperiksaan akhir semester di universiti ini.
Program ini merupakan inisiatif kepimpinan HEPA UTHM menyantuni para pelajar pada minggu peperiksaan dengan pemberian makanan seperti pisang, roti dan air minuman selain kata-kata motivasi sebagai pendorong semangat.
Menurut Timbalan Naib Canselor (HEPA), Profesor Madya Dr. Afandi Ahmad pemberian ini merupakan salah satu cara pihak kepimpinan dan pengurusan universiti mendekati pelajar untuk beramah mesra sebelum mereka masuk ke dewan peperiksaan.
“Pemberian ini tidaklah seberapa, namun ukiran senyuman di wajah anak-anak pelajar sebelum menduduki peperiksaan itu sudah cukup membuatkan kami gembira,” katanya.
Program ini juga salah satu usaha murni untuk menyemai budaya kegembiraan, kasih sayang dan saling menghormati selari dengan iltizam Kampus Amal (KAMIUTHM) sebagai DNA kecemerlangan warga UTHM.
Pemberian makanan kepada pelajar diketuai oleh Profesor Madya Dr. Afandi serta dibantu oleh pegawai-pegawai HEPA.
Hadir sama menemui para pelajar Naib Canselor UTHM, Profesor Ts. Dr. Wahid Razzaly.