Peningkatan kos sara hidup yang dialami oleh rakyat turut dialami oleh sebahagian besar pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT) di Malaysia. Sejak kebelakangan ini banyak media melaporkan kesusahan dialami oleh pelajar dalam meneruskan pengajian mereka kerana berhadapan dengan masalah kewangan. Catu makanan, berpuasa, makan mee segera dan “skip” waktu makan merupakan kaedah yang digunakan oleh pelajar bagi mengurangkan atau sebagai penyelesaian bagi mengatasi masalah kewangan.
Kebanyakan pelajar yang dilaporkan mengalami masalah ini adalah berasal dari kumpulan keluarga B40. Kemelut kepada pemasalahan ini telah menyebabkan pelbagai inisiatif telah dijalankan oleh pihak universiti bagi mengurangkan bebanan kewangan pelajar.
Terdapat beberapa universiti awam yang menyediakan makanan percuma kepada pelajar, pensyarah memasak makanan kepada pelajar, pemberian roti percuma dan sebagainya. Inisiatif ini dilihat sebagai langkah yang baik dalam membantu pelajar yang kekurangan sumber kewangan.
Bahkan di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) juga turut memperkenalkan beberapa program bagi membantu pelajar yang mempunyai masalah ini. Antaranya seperti program bantuan zakat, Tabung Wang Ehsan (TWE), Tabung Kebajikan Pelajar, Skim Pelajar Bekerja, pemberian roti dan pisang, sumbangan makanan percuma dan program “Sabil Al-Hikmah” yang melibatkan pemberian makanan percuma harian. Insiatif ini ternyata berjaya mengurangkan serba sedikit masalah kewangan pelajar dalam mendapatkan makanan.
Walaubagaimanapun, insiatif ini adalah bersifat “pasif” kerana satu pihak memberi dan satu pihak yang menerima. Apa yang boleh disarankan adalah supaya para pelajar ini mampu berdikari dalam erti kata yang lain mampu “survive” kehidupan mereka di kampus walaupun tanpa bantuan makanan daripada pihak universiti.
Peranan Pusat Perniagaan dan Keusahawanan, UTHM
Di UTHM pelbagai program telah dibangunkan iaitu bagi menggalakkan para pelajar menjana income sambil belajar. Walaupun core business mereka adalah belajar, namun dalam masa yang sama mereka boleh mengambil peluang dengan menjalankan aktiviti perniagaan bagi menampung kos sara hidup di kampus. Langkah ini disambut baik oleh para pelajar kerana selain daripada menambah income, mereka juga mendapat asas perniagaan secara langsung. Pusat Perniagaan dan Keusahawanan yang beroperasi di UTHM, diketuai oleh Pengarahnya iaitu Profesor Madya Sr. Dr. Abdul Jalil Omar, sentiasa membuka ruang kepada pelajar UTHM yang berminat untuk menjalankan perniagaan. Mereka akan diberi bimbangan secara formal dan tidak formal.
Kreativiti Menjana Pendapatan
Langkah yang dijalankan oleh UTHM wajar diberi sokongan memandangkan penglibatan pelajar dalam perniagaan semakin meningkat setiap tahun. Asas keusahawanan yang diterapkan sejak dari awal mampu mendedahkan pelajar “deal” dengan “client,” pengurusan kewangan: untung-rugi, pengalaman berniaga dan jaringan keusahawanan. Pelbagai jenis perniagaan yang diusahakan oleh para pelajar antaranya makanan untuk sarapan pagi dan makan tengahari seperti nasi lemak, bihun dan mee goreng dan roti sandwich, minuman dan makanan ringan, kraftangan, pakaian dan barangan kosmetik. Walaupun usaha ini dijalankan secara kecil-kecilan, namun mereka mampu menjana income dan dalam masa yang sama dapat membantu rakan mereka dengan menawarkan kerja “Part time” seperti membekalkan produk makanan dan menjaga kios yang biasanya dibayar upah mengikut jam.
Persekitaran Yang Menyokong Kepada Kreativiti Pelajar
Langkah Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP) membantu para pelajar dalam menjana income seharusnya dicontohi oleh universiti yang lain. Fakulti ini telah menyediakan satu ruang khusus bagi memberi peluang dan ruang kepada pelajar untuk berniaga. Kafetaria yang terletak di aras satu bangunan FPTP ini, bukan sahaja memperlihatkan kreativiti pelajar untuk berniaga, bahkan fakulti ini turut menyediakan kerusi, meja dan sudut perbincangan. Dilengkapi dengan kemudahan penghawa dingin, dekorasi yang menarik, serta disediakan penapis air dan makanan percuma yang disumbangkan oleh para pensyarah fakulti. Kafetaria ini beroperasi setiap hari kecuali pada hari cuti umum dan cuti semester.
Kedudukan kafetaria yang strategik dan selesa bukan sahaja memudahkan para pelajar fakulti ini mendapatkan makanan, bahkan para pensyarah turut menyokong dengan membeli makanan yang dijual oleh para pelajar. “Membeli sambil Menyumbang” adalah konsep yang diamalkan oleh pensyarah FPTP.
UTHM berharap langkah membantu pelajar yang mengalami masalah kewangan melalui kaedah “berniaga” ini dapat mengurangkan beban mereka. Sistem dan persekitaran universiti juga harus turut sama mendokong usaha ini supaya pelajar berjaya dengan usaha mereka sekali gus mendapat pengalaman asas keusahawanan.
Oleh Profesor Madya Dr. Haryati Shafii,
Jabatan Pengurusan Pembinaan, Universiti Tun Huseein Onn Malaysia (UTHM)