KOTA TINGGI – Dalam usaha menyokong pembangunan masyarakat negeri Johor yang melibatkan kemajuan ekonomi dan jalinan masyarakat yang harmoni, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan program Sosio-education University Lab for Orang Asli pada 17 hingga 19 Januari lalu bertempat di Kampung Orang Asli Sungai Layau, Kota Tinggi.
Penganjuran program dengan dana yang ditaja oleh Iskandar Regional Development Authority (IRDA), menerusi geran Iskandar Malaysia Youth Empowerment Fund ini merupakan kesinambungan program fasa satu yang telah dilaksanakan di UTHM pada 22 hingga 24 November tahun lalu dalam usaha memperkenalkan pusat ilmu kepada masyarakat Orang Asli dan seterusnya meningkatkan motivasi untuk berjaya.
Program ini melibatkan beberapa modul terancang dalam penganjurannya meliputi modul pembangunan diri, teknologi kejuruteraan dan alam sekitar. Modul pembangunan diri memberi penekanan kepada peningkatan motivasi menerusi program ceramah motivasi yang diberikan sendiri oleh ikon Orang Asli yang berjaya. Turut diselitkan, aktiviti riadah berkonsepkan teknologi dalam suasana universiti bagi memberi peluang kepada peserta merasai pengalaman sebenar dunia universiti.
Tidak terhenti di situ, program ini turut menekankan kepada pembangunan sosio-ekonomi masyarakat melalui projek fertigasi cili dengan sistem teknologi solar. Program ini dilihat bukan sahaja memberi pendedahan berkaitan aplikasi sebenar teknologi dalam kehidupan malahan memupuk penghubungan erat belia Orang Asli dan masyarakat umum apabila saling membantu dalam penyediaan tanaman dan teknologi berkenaan. Selain itu, masyarakat kampung turut diberi bimbingan berkaitan penjagaan tanaman, teknologi, dan pemasaran.
Program yang disertai oleh lebih 100 orang peserta masyarakat Orang Asli melibatkan suku kaum Kuala dan Seletar ini merupakan program kerjasama dengan Pengakap Kumpulan Latihan Kelanasiswa Malaysia UTHM, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Pertubuhan Kaum Dessit Duanu Negeri Johor, Felcra, Pusat Penyelidikan Pemesinan Jitu (PREMACH), Kumpulan Penyelidik Pembuatan Deras (ADDMAN) dan Persatuan Wanita Dinamis Felcra (WADIRA) Sungai Layau.
Menurut Ketua Program, Dr. Mohammad Zulafif Rahim dalam usaha menuju negara maju kerajaan amat komited dalam pembangunan pemikiran generasi masa kini terutama golongan B40.
Menurutnya lagi motivasi tentang kepentingan pendidikan dalam kalangan masyarakat Orang Asli dilihat masih rendah dan memerlukan galakan sebagai pemangkin kepada kesedaran masyarakat. Dalam pembentukan masyarakat majmuk yang harmoni, nilai kebersamaan perlu dipertingkatkan tanpa mengabaikan golongan berpendapatan rendah, masyarakat istimewa seperti Orang Asli dan komuniti setempat.
“Semua golongan juga secara keseluruhannya perlu bergandingan dalam mengorak langkah untuk merealisasikan hasrat untuk membina generasi masa hadapan. Melahirkan masyarakat yang mempunyai kemajuan pemikiran adalah sangat penting dalam transformasi negara,” katanya.
Justeru itu, program yang dirancang ini dilihat bukan sahaja menekankan pembangunan pendidikan berteraskan teknologi malahan juga perhubungan erat di antara masyarakat Orang Asli bersama masyarakat umum.
“Lebih unik, program ini telah diurus bersama oleh gabungan golongan belia masyarakat umum dan Orang Asli yang datangnya daripada persatuan-persatuan terlibat. Aktiviti yang terancang ini dilihat mampu memupuk hubungan integrasi erat Universiti-Masyarakat Orang Asli,” tambahnya.
Senator Dato’ Isa Ab. Hamid, Ahli Dewan Negara hadir menyempurnakan majlis pelancaran Projek Fertigasi Solar yang merupakan salah satu agenda di bawah program berkenaan.
Hadir sama, Profesor Madya Dr. Afandi Ahmad, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UTHM; Profesor Madya. Ts. Dr. Lokman Hakim Ismail, Pengarah Pusat Pembangunan dan Pengembangan Pelajar UTHM; Profesor Madya Dr. Hj. Mustaffa Ibrahim, Pesuruhjaya Daerah Persekutuan Pengakap Malaysia K.L.K.M UTHM, Suhaily Abdul Hamid, Ketua Unit Pembangunan Sosial IRDA dan Suhaila Isenin, wakil pengarah JAKOA negeri Johor.